IPOH – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggunakan fasiliti sukan di sekolah, bagi penganjuran sesuatu program sukan.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata fasiliti sukan sedia ada di sekolah, boleh digunakan untuk penganjuran seperti Malaysia Sports League dan Seribu Liga.
“Sebenarnya buat masa sekarang ini banyak fasiliti sukan di sekolah dalam keadaan yang baik berbanding kemudahan yang tidak berada dalam keadaan baik.
“Jadi saya telah berhubung dengan pihak Kementerian Pendidikan untuk dibuka fasiliti sukan di sekolah-sekolah turut digunakan sama dengan orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan temasya sukan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan di sini hari ini.
Ahmad Faizal berkata penggunaan kemudahan sukan itu nanti dapat membudayakan sukan supaya rakyat kekal cergas dan aktif.
“Jadi, saya ucapakan terima kasih atas kerjasama baik yang diberikan oleh pihak Kementerian Pendidikan dan juga sekolah-sekolah di seluruh negara dan berharap ia terus dipereratkan dan ditambah baik,” katanya.- BERNAMA