KUALA LUMPUR – Polis memberikan amaran kepada orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat tidak sahih sehingga mencetuskan kerisauan awam mengenai satu kes tembak.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, video tular itu dikesan tular dan dikatakan berlaku di Bukit Tinggi, Klang.
“Penelitian mendalam dalam video itu memaparkan satu kejadian berbalas tembakan diantara suspek dan pengawal keselamatan di dalam premis tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun Hoong Fong menafikan insiden tembak menembak itu berlaku di kawasan Bukit Tinggi seperti yang ditularkan.
“Justeru, hasil siasatan polis mendapati kejadian ini sebenarnya berlaku di salah sebuah negara Amerika Latin. Polis ingin memberikan amaran keras kepada orang awam agar tidak menularkan apa-apa maklumat yang tidak benar ke media sosial sehingga mendatangkan kegusaran kepada masyarakat.
“Tindakan tegas boleh diambil di bawah undang-undang yang diperuntukkan,” tegasnya.
Terdahulu video yang dikesan tular sejak jam 10 pagi tadi adalah berdurasi satu minit 42 saat dan memaparkan seorang pengawal keselamatan kelihatan berdiri di penjuru kanan meja dan seorang wanita yang merupakan tukang sapu sedang menyapu lantai di dalam sebuah bilik kelihatan seperti pejabat.
Ketika itu kelihatan seorang lelaki iaitu suspek berseluar pendek dan berbaju putih serta bertopi koboi duduk di meja kelima penjuru kiri.
Kira-kira seminit kemudian suspek berkenaan tiba-tiba bangun dan lari memuju ke arah pengawal keselamatan sambil melepaskan beberapa das tembakan secara rambang.
Dua wanita yang berada di kaunter dan melayan suspek dan seorang lagi pelanggan turut lari masuk ke dalam bilik khas untuk menyelamatkan diri.
Pengawal keselamatan itu yang menyedari tindakan suspek bertindak pantas membalas tembakan menggunakan pistol yang dimilikinya.
Pintu cermin pecah terkena peluru selain percikan darah dari badan suspek yang terkena tembakan pengawal keselamatan kelihatan di lantai pejabat itu.
Suspek sambil menahan kesakitan dan percikan darah seperti paip itu terus menembak sambil masuk ke dalam pintu pergerak automatik itu sebelum rebah di dalam ruang pintu bulat itu.-MalaysiaGazette