Home Pendapat Cukup-cukuplah dengan sikap suka melenting tu

Cukup-cukuplah dengan sikap suka melenting tu

Gambar hiasan

Saudara/i Pengarang,

Masyarakat Melayu memang terkenal dengan sikap mereka yang suka melenting. Bahkan, saya percaya perkataan “melenting” agak sukar dialihbahasakan kepada bahasa lain, contohnya bahasa Inggeris.

Namun kebelakangan, sifat ini tidak terhad kepada komuniti Melayu. Rakyat Malaysia rata-rata cepat melenting dan panas baran tanpa usul periksa. Sudah menjadi lumrah agaknya.

Ambil contoh pengumuman baru-baru ini mengenai penghapusan subsidi untuk ayam, telur ayam dan minyak masak botol. Minggu lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengumumkan pemansuhan subsidi minyak masak botol, ayam dan telur ayam mulai 1 Julai.

Apabila frasa “penghapusan subsidi” terpampang sahaja di skrin peranti, ditambah lagi ketika ekonomi negara masih bergelora, mekanisme melenting kita diaktifkan secara otomatik.

Ramai akan meroyan terutama di media sosial mereka, tanpa pedulikan kesahihan berita. Yang tukang kipaskan api pun tersenyum lebar mengambil kesempatan menuduh kerajaan kerajaan macam-macam, seperti tidak sensitif dan kayangan.

Tetapi jika kita baca berita ini dengan lebih teliti, sebenarnya kerajaan telah memperuntukkan RM4 bilion subsidi untuk minyak masak untuk tahun ini, berbanding RM2.2 bilion untuk tahun lepas dan RM500 juta untuk 2020. Jadi, benarkah kerajaan bersikap kejam, terutamanya kepada golongan miskin?

Kerajaan cuma menghapuskan subsidi minyak masak dalam botol 2kg, 3kg dan 5kg sahaja. Subsidi untuk pakej polibeg 1kg kekal. Subsidi minyak masak botol telah diperkenalkan pada Ogos 2021 dan bertujuan untuk berkuatkuasa selama tiga bulan sahaja, tetapi ia telah diheret kepada 10 bulan sekarang! Adakah ini kerajaan yang tidak berperikemanusiaan?

Bagi penghapusan subsidi ayam dan telur ayam pula, keputusan ini bagi memastikan bekalan mencukupi di pasaran dan menstabilkan harga dalam jangka panjang. Mana-mana ahli ekonomi pun tahu bahawa subsidi yang berpanjangan dan secara besar-besaran hanya akan menjejaskan ekonomi dalam jangka panjang.

Adalah tidak masuk akal untuk T20 untuk menikmati subsidi yang sama, atau lebih, daripada kumpulan B40. Itulah sebabnya kerajaan telah meningkatkan pemberian wang tunai Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) kepada golongan B40. Isi rumah dalam kategori ini akan diberi tambahan RM100, dan belia yang belum berkahwin akan mendapat tambahan RM50. Ini akan menjadikan jumlah pembayaran BKM setinggi RM2,500 setiap isi rumah tahun ini.

Untuk sekian lama, kita telah membenarkan sifat prejudis kita yang mengaburi pertimbangan objektif. Bila kita terbaca tajuk berita “Subsidi minyak masak dibuang”, kita terus melenting. Kita seolah-olah gian mengadu dan meroyan walaupun subjek yang dibahaskan tidak berpaksikan kepada realiti ataupun telah diputarbelitkan.

Kesahihan berita atau kebenaran sudah menjadi tidak penting. Yang penting hanyalah dunia maya yang selaras dengan prasangka yang kian menebal.

Maaf kalau cetusan saya ini juga bunyi seperti melenting dan meroyan. Tetapi realiti dan fakta mesti diketengahkan. Kalau tidak, yang hancur adalah negara nanti.

Firdaus Abdul Rahman
Gombak