JOHOR BAHRU – Dua lelaki yang sedang bersarapan di sebuah kedai kopi Pekan Bukit Gambir dekat sini cedera ditembak seorang lelaki bersenjatakan pistol semi auto pada pukul 4 pagi tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, suspek yang memakai topi keledar bertutup penuh melepaskan tujuh das tembakan ke arah mangsa dalam jarak dekat.
Menurutnya, selepas melepaskan tembakan, suspek melarikan diri dengan menunggang motosikal.
“Dua lelaki yang cedera berusia dalam lingkungan 30-an masing-masing dihantar ke Hospital di Muar dan Melaka untuk mendapatkan rawatan. Mereka dilaporkan dalam keadaan stabil.
“Motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohd. Khalil, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3(1) Akta Senjatapi (Penalti lebih berat 1971).
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tangkak, Asisten Superitenden Azmi Ali di talian 012-334 4200 atau Bilik Gerakan Ibu pejabat Polis Daerah Tangkak di talian 06-978 7471. – MalaysiaGazette.