Home Nasional Rakyat tak perlu ‘pakar formula’ seperti Rafizi

Rakyat tak perlu ‘pakar formula’ seperti Rafizi

Ahmad Zahid Hamidi Nur Jazlan Ismail Sabri weakest PM
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Rakyat di negara ini lebih memerlukan solusi terhadap permasalahan dan tidak kisha tentang formula terutama daripada Rafizi Ramli yang tumbang bersama Pakatan Harapan (PH) selepas 22 bulan mentadbir negara.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, siapa lagi yang masih ingat tentang bermacam-macam formula untuk tol percuma, pendidikan percuma dan segala macam kaedah untuk kononnya mengurus kewangan negara dengan lebih baik yang dijanjikan oleh PH.

Tetapi apabila PH menjadi kerajaan, semuanya hanya tinggal janji kerana menurut PH hutang tetap hutang dan manifesto bukan kitab suci, kata Zahid yang membidas Rafizi kerana memperlekehkan cadangan UMNO untuk menubuhkan Lembaga Unggas Kebangsaan bagi menangani kos sara hidup dan masalah sekuriti makanan negara.

”Beliau katakan cadangan tersebut akan membazir wang rakyat dan menambah lagi karenah birokrasi. Tapi beliau sendiri pula mencadangkan untuk mewujudkan satu badan bebas untuk menguruskan risiko gangguan bekalan makanan. Tidakkah itu akan menambah lagi birokrasi dan sedikit sebanyak menggunakan wang rakyat?

”Ini bukan kali pertama Rafizi Ramli memberikan cadangan atau kritikan yang self contradictory. Kita semua masih ingat siapa Rafizi Ramli dan bermacam dakyah penipuan yang ditaburkan kepada rakyat Malaysia sejak PRU-13 lagi melalui kempen ‘Bina Semula Negara’

”Siapa lagi masih ingat? Bermacam-macam formula untuk tol percuma, pendidikan percuma dan segala macam kaedah untuk kononnya mengurus kewangan negara dengan lebih baik. Tetapi apabila Pakatan Harapan menjadi Kerajaan, semuanya hanya tinggal janji. Kata mereka hutang tetap hutang, dan manifesto bukan kitab suci,” ujarnya.

Tidak seperti UMNO, yang sentiasa konsisten terutama sekali dalam isu isu sekuriti makanan.

Ia termasuk tentang cadangan perlunya ada koordinasi rentas kementerian melalui pengaktifan semula Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dan melaksanakan pakej-pakej bantuan yang bersasar berteraskan data terkini kepada golongan memerlukan.

”Saya berpendapat, melalui platform Majlis Tindakan tersebut, pelbagai cadangan dan pandangan, terutama sekali daripada pakar (bukan pakar formula seperti Rafizi Ramli) dan pemain industri bagi memastikan setiap keputusan kerajaan, sama ada berkenaan harga makanan, harga utiliti dan lain-lain haruslah bertujuan untuk sentiasa mengawal dan merendahkan kos sara hidup rakyat.

”Termasuklah juga cadangan penubuhan Lembaga Unggas Kebangsaan yang perlu diteliti NACCOL untuk memastikan harga ayam sentiasa di tahap yang munasabah,” katanya. – MalaysiaGazette