WASHINGTON – Taikun hartanah, Donald Trump hari ini mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke-45 di Capitol Hill.
Trump mengangkat sumpah jawatan di hadapan Ketua Hakim Mahkamah Agung Amerika Syarikat, John Roberts.
Beliau mengambil alih jawatan itu daripada Barack Obama yang memegang jawatan tertinggi negara itu selama dua penggal sejak tahun 2009.
Dalam ucapan pertamanya sebagai presiden, Trump berikar akan membina semula kegemilangan negara itu dengan ‘tangan-tangan Amerika’.
Katanya, ‘pembunuhan Amerika’ terhenti setakat di sini,” katanya selepas ucapara itu.
“Saya akan melucutkan kuasa dari Washington dan memberikan “kembali kepada rakyat”.
“Kita mesti berfikiran besar dan memiliki impian yang lebih besar.
“Amerika akan mula menang lagi, memenangi seperti tidak pernah menang sebelum ini.
“Kita akan dapat semula pekerjaan untuk Amerika, membawa kembali sempadan kita, kita akan membawa balik kekayaan kita dan membawa balik impian kita,” ikrar Trump dengan penuh semangat meskipun hujan mula turun ketika itu.
Ucapan pertama Trump itu dikatakan paling pendek sejak pemerintahan Jimmy Carter.
Tegasnya, kerajaan di bawah pimpinan beliau akan membina jalan-jalan raya, lebuh-lebuh raya, jambatan, lapangan terbang dan terowong keretapi merentasi negara itu.
Ucapan bersemangat Trump itu turut disaksikan oleh Obama dan isterinya Michelle.
Terdahulu, Trump dan isterinya Melania menghadiri majlis teh di White House bersama Obama. – MalaysiaGazette