KUANTAN – Seramai 5,300 pemilik akaun Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) di Daerah Raub terjejas bekalan air bersih bermula hari ini.
Menurut kenyataan PAIP, sebanyak 14 kawasan yang melibatkan 4,500 pemilik akaun akan terkesan dengan gangguan air berjadual bermula jam 9 pagi sehingga 11.30 malam.
Ia berikutan pelaksanaan kerja-kerja pembersihan Tangki Mendapan Fasa 2 di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Bilut, ujarnya.
Kawasan-kawasan yang terlibat adalah di sepanjang Jalan Tras, Taman Wawasan, Taman Sri Wawasan, Taman Unijaya, Taman Sutera, Kampus UiTM Cawangan Raub, Taman Raub Jaya (1-6), Taman Intan, Rotan Tunggal, Taman Amalina Saujana, Kuarters Ibu Pejabat Polis Raub, Bandar Inderapura, Taman Raub Utama dan Taman Lee Man.
Sementara itu, sebanyak 800 pemilik akaun PAIP di kawasan sekitar Sempalit turut terjejas bekalan air bersih ekoran paip bekalan utama berdiameter 100 milimeter (mm) pecah membabitkan Kampung Sempalit, Taman Emas Sempalit, Taman Sempalit Aman, Taman Sempalit Baru dan Taman Sempalit bermula jam 8.30 pagi tadi.
Katanya, kerja-kerja penggantian paip akan dilakukan segera dan dijangka pulih tengah hari ini. – MalaysiaGazette