Wednesday, November 27, 2024
Home Nasional Kajian cuaca, taburan hujan siap akhir tahun

Kajian cuaca, taburan hujan siap akhir tahun

Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
KUALA LUMPUR –  Kajian komprehensif mengenai cuaca dan taburan hujan di negara ini dijangka siap pada penghujung tahun depan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, hasil kajian itu penting untuk membantu kerajaan menangani pelbagai kesan  perubahan iklim terhadap alam sekitar, khususnya situasi banjir di negara ini.

“Kajian di beberapa universiti awam merekodkan Malaysia menerima 907 juta meter padu (m3) hujan tahunan pada 2016. Jumlahnya tidak jauh beza dengan tahun ini, cuma bezanya ialah di mana hujan itu berlaku dan berapa lama ia akan turun.

“Contohnya pada 2013 hingga 2015 tidak pernah berlaku hujan lebat di hulu Sungai Sarawak untuk tempoh yang panjang, tetapi sekarang ia berlaku yang mengakibatkan banjir di sekitarnya,” katanya.

Beliau ditemui selepas menjadi panel program Ruang Bicara dengan  topik ‘Perubahan Iklim: Kesan dan Perubahan Pola Taburan Hujan’ di Studio Bernama News Channel, di sini malam tadi.

Katanya, perubahan paten hujan di negara ini bukan sahaja kesan perubahan iklim tetapi akibat aktiviti pembalakan, pembangunan, peningkatan suhu bandar selain sungai yang tidak diselenggara dengan baik yang akhirnya menyebabkan banjir.

 “Perkara sama turut berlaku di Semenanjung terutama di ibu kota apabila kawasan yang jarang menerima hujan lebat kini dilanda banjir kilat kesan pembangunan meluas kerana permukaan tanah yang mampu menyerap air semakin terhad.

“Faktor itu diburukkan lagi dengan kelemahan koordinasi saliran pembentungan semasa kerja-kerja pembinaan dibuat. Maka bila hujan lebat air akan terus mengalir ke sungai sehingga tidak mampu menampung takungan lalu melimpah ke jalan raya,” katanya.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata, pemuliharaan sungai  antara yang menjadi perhatian utama kementeriannya bagi memastikan ekosistem itu tidak musnah akibat kepesatan pembangunan infrastruktur serta perindustrian.

Beliau turut berpandangan sistem pengurusan sisa perindustrian sedia ada perlu diubah bagi menangani masalah pencemaran air sungai akibat sisa perindustrian.

Menurut Wan Junaidi kementerian kini  dalam peringkat perbincangan untuk mendapatkan input berhubung undang-undang baharu  yang antaranya mewajibkan pemilik kilang merawat sisa buangan industri mereka terlebih dahulu sebelum dilepaskan ke sungai. – MalaysiaGazette