KUALA LUMPUR- Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Mahathir Mohamad perlu meminta maaf atas kenyataan yang melabelkan bangsa Bugis sebagai lanun.
“Saya rasa dia (Tun M) perlu minta maaf sebab dia bercakap diluar konteks, dia memanggil orang lain lanun,” ujar Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selepas menghadiri rumah terbuka Deepavali di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) petang tadi.
Tambah Tengku Adnan, tindakan Mahathir sudah keterlaluan kerana membangkitkan isu keturunan dalam negara yang majmuk seperti Malaysia.
“Kita ada macam-macam bangsa dan keturunan. Sudah-sudahlah sebab kita semua orang Malaysia. Apa yang penting kita semua rakyat Malaysia bekerjasama untuk pastikan negara kita bersatu dan selamat supaya kita dapat jadi negara yang kuat di masa hadapan,” tambahnya yang juga Setiausaha Agung UMNO.
Beliau merujuk kepada kenyataan Mahathir dalam ucapannya ketika himpunan pembangkang di Padang Timur, Petaling Jaya Sabtu lalu.
Sementara itu, majlis rumah terbuka Deepavali DBKL dihadiri lebih 5,000 orang ramai termasuk orang yang kurang berkemampuan termasuk gelandangan.
Tengku Adnan turut menyampaikan sumbangan dari Yayasan Wilayah Persekutuan kepada 2,300 orang bernilai RM100 setiap seorang. – MalaysiaGazette