KUALA LUMPUR – Pengambilan tanah tetap dilaksanakan ke atas pemilik tanah di Kampung Sungai Baru di sini yang tidak menandatangani usaha sama dengan pemaju.
Setakat ini, pengambilan tanah telah sempurna dilaksanakan terhadap 72 petak rumah pangsa bagi tujuan pembangunan
semula.
“Hanya berbaki 37 unit rumah teres sahaja lagi yang masih belum dilaksanakan siasatan.
“Urusan pengambilan tanah adalah berlandaskan peruntukan undang-undang yang jelas, maka pampasan yang mencukupi telah digunapakai berdasarkan nilai yang diberikan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah (JPPH),” kata Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Yasir Yahya.
Namun begitu, menurutnya, pihak yang terkilan terhadap nilai pampasan ini masih boleh merayu kepada mahkamah, dan mahkamah akan menilai semula pampasan yang bersesuaian kepada perayu.
“Pejabat ini bersetuju pengambilan tanah diteruskan kerana proses tersebut telah pun dilaksanakan dengan sempurna dan majoriti penduduk bersetuju di atas pembangunan semula Kampung Sungai Baru,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, menurut Muhammad Yasir, satu pertemuan di antara penduduk yang terlibat akan diadakan denganMenteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim bagi memberi penerangan dan juga penjelasan untuk membolehkan semua pihak yang terlibat dalam situasi menang-menang.- MalaysiaGazette