KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menggariskan tiga DNA yang perlu dimiliki oleh usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk bersaing peringkat global bagi memastikan produk mereka berjaya dijual di pasaran.
Perdana Menteri mahu usahawan mempunyai produk dan perkhidmatan yang diiktiraf mempunyai standard global dan bersedia menembusi pasaran dunia.
“Para usahawan desa hendaklah memiliki tiga DNA Keusahawanan Desa TN50 yang berjaya iaitu memperhebat kreativiti dan inovasi dalam penghasilan produk dan perkhidmatan yang berkualiti.
“Kedua, memaksimumkan atau leverage penggunaan teknologi dan digital dalam perniagaan dan ketiga mempertingkat daya saing dan memperkukuh daya tahan dalam menghadapi landskap ekonomi baharu,” kata beliau semasa merasmikan Karnival Keusahawanan Desa di PWTC petang tadi.
Ujar Najib, ketiga-tiga DNA tersebut cukup penting kerana ia dapat menjamin kejayaan sesuatu produk yang dihasilkan dan menjadi kayu pengukur seorang usahawan yang sejati.
“Inilah DNA yang cukup penting untuk membawa para usahawan kita ke mercu kejayaan demi kejayaan.
“Daya saing dan daya tahan ini juga lah sebenarnya merupakan kayu pengukur untuk membezakan kemampuan di sebalik setiap kejatuhan dan kebangkitan yang dihadapi oleh seorang usahawan sejati,” katanya lagi.
Jelas Najib, kerajaan sentiasa mencari jalan untuk membantu usahawa PKS memperluaskan pasaran mereka dan antaranya menerusi inisiatif memperkenalkan Digital Free Trade Zone (DTFZ) dimana ia akan memberi manfaat kepada para usahawan.
“Melalui inisiatif ini, 1,500 PKS Malaysia yang layak akan disenaraikan di platform e-dagang Alibaba.com.
“Justeru, para usahawan desa perlu merebut peluang ini untuk memasuki liga sebagai pemain global,” ujarnya.
Dalam pada itu, beberapa program seperti Skim Pinjaman Ekonomi Desa (SPED) yang diperkenalkan oleh kerajaan melalui dua bank pelaksana, SME Bank dan Bank Rakyat juga banyak membantu para usahawan PKS untuk mengembangkan aktiviti perniagaan mereka, kata Najib.
Sejak dilaksanakan tahun 2001 hingga kini, SPED sudah memberikan geran kepada 3,796 orang seluruh negara dengan jumlah sebanyak RM382.4 juta.
Pada Karnival Keusahawan Desa tahun ini, seramai 700 usahawan menyertai dengan jangkaan nilai jualan melebihi RM3 juta, nilai tempahan sebanyak RM10.5 juta dan dijangka seramai sejuta pengunjung akan hadir sepanjang empat hari karnival tersebut berlangsung. – MalaysiaGazette