KUALA LUMPUR – Bukan hanya parti UMNO sahaja yang mahu Parlimen dibubarkan segera dan seterusnya memberikan laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.
Menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, parti lain termasuk Bersatu turut mengharapkan Parlimen dibubarkan dengan segera.
Ini berikutan kenyataan terbaharu yang dibuat bekas Naib Presiden Bersatu, Tan Sri Abdul Rashid Ab Rahman yang menegaskan PRU15 perlu diadakan sekarang.
Ahmad Zahid berkata, Abdul Rashid telah mengeluarkan pendapat yang disifatkan sebagai jujur berikutan pengalamannya dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Beliau juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya menyatakan mandat sah demokrasi perlu dikembalikan. Kerajaan pula tidak stabil kerana terdapat pelbagai watak dan parti dan ini tidak baik untuk negara. Katanya lagi ekonomi semakin buruk dan pelabur pula lari.
“Tan Sri Rashid juga bekas Naib Presiden Bersatu dan kini masih jadi ahli Bersatu bersikap jujur menyatakan sikap dan pendiriannya berdasarkan pengalamannya sekitar 30 tahun berada dalam Suruhanjaya Pilihan Raya,” kata Ahmad Zahid.
Dalam kenyataan di media sosialnya, Ahmad Zahid turut berkongsi keratan berita yang melaporkan kenyataan Abdul Rashid tersebut.
Ahmad Zahid sebelum ini telah beberapa kali menggesa supaya PRU15 diadakan dengan segera bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang diingini.
Dalam Majlis Pembukaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 Mac lalu, Ahmad Zahid berkata, hasrat untuk mengadakan PRU15 secepat mungkin sememangnya tidak boleh dinafikan kerana ia menjadi keinginan akar umbi UMNO ketika ini.
Semalam, Ahmad Zahid menjadi sasaran bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dilucutkan jawatan, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Dalam sidang media itu, Tajuddin berkata, desakan Ahmad Zahid supaya PRU15 diadakan segera adalah satu helah bagi membolehkan beliau diangkat sebagai perdana menteri.
Tajuddin yang mendedahkan perkara itu berkata, isu untuk mempercepatkan PRU15 sepatutnya tidak dibangkitkan apabila jawatan Perdana Menteri kembali kepada UMNO.
“Soal pilihan raya, kita sekarang dah ada Perdana Menteri UMNO. Selama ini apa yang kita perjuangkan adalah untuk dapat kembali kuasa dalam kerajaan. Sekarang kita sudah capai perkara itu, Buat apa nak bising lagi nak PRU cepat?
“Nanti yang dikejar tak dapat, digendong berciciran. Apa yang tak puas hati lagi? Dia tak puas hati sebab Zahid sendiri nak jawatan,” dakwanya.
Sehubungan itu, Tajuddin mencadangkan Ahmad Zahid untuk menumpukan perhatian yang penuh kepada kes-kes yang sedang dibicarakan di mahkamah berbanding terlalu tertumpu untuk mempercepatkan PRU-15. – MalaysiaGazette