JEFFERSON CITY – Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi dilaporkan cedera selepas kereta api penumpang tergelincir selepas melanggar sebuah trak di Missouri.
Kira-kira 243 penumpang berada di dalam kereta api yang dalam perjalanan dari Los Angeles-Chicago apabila ia terkeluar dari landasan di persimpangan kereta api berhampiran bandar Mendon.
Tujuh gerabak dan dua lokomotif tergelincir dalam kejadian yang berlaku pada 12:42 waktu tempatan (17:52 GMT).
Pasukan kecemasan dari kawasan itu telah dihantar ke tempat kejadian.
Dalam satu kenyataan, Amtrak – pengendali kereta api Amerika Syarikat berkata, kereta api “Southwest Chief” yang bergerak ke arah timur dari Los Angeles melanggar trak yang menghalang persimpangan awam berhampiran Mendon, sebuah bandar dengan kira-kira 160 orang yang terletak 84 batu (135km) dari Kansas City.
Pegawai Peronda Lebuhraya Missouri mengesahkan dua orang di dalam kereta api dan seorang di dalam trak itu terbunuh dalam nahas itu.
Seorang anggota perkhidmatan ambulans tempatan berkata, sekurang-kurangnya 50 orang cedera.
Amtrak berkata, pasukan tindak balas insidennya telah diaktifkan dan kakitangan kecemasan tambahan sedang dihantar ke tempat kejadian dan siasatan sedang dijalankan.
Imej yang dikongsi di media sosial menunjukkan penumpang duduk di atas gerabak yang tergelincir di padang hijau rata.
Dalam satu imej lain, seorang wanita boleh dilihat merangkak keluar melalui tingkap yang pecah.
Kejadian berlaku sehari selepas kereta api Amtrak merempuh sebuah kereta di Brentwood, California, membunuh tiga wanita dan mencederakan beberapa yang lain.-BBC