KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus bernafsu untuk menambah kekuatan pasukan tersebut apabila dilaporkan bakal membawa masuk pemain pertahanan berpengalaman, Jordi Amat.
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) mengesahkan Jordi yang berpengalaman beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan La Liga akan bersama JDT pada musim ini.
Kata beliau, segalanya akan dimeterai kedua-dua belah pihak sebaik sahaja proses dokumentasi bagi mengesahkan taraf kerakyatannya sebagai Warga Negara Indonesia (WNI) selesai.
“Saya rasa dia akan jadi aset terbesar Indonesia kerana sudah bermain 100 lebih perlawanan di La Liga, 100 lebih perlawanan di English Premier League.
“Itu adalah satu kerugian yang sangat besar (sekiranya Indonesia tidak memberikan pasport) iaitu Jordi Amat. Jordi akan bermain dan akan menjadi pemain JDT.
“Saya tidak boleh turunkan Mauricio (Santos Nascimento) kerana dia pemain import (slot bebas), saya dah ada tiga pemain slot tersebut dalam padang.
“Jadi, Jordi Amat, neneknya dari Makassar. Memang betul ada darah Indonesia. Dia juga memang nak sangat bermain untuk negaranya, bersemangat untuk bermain bersama Indonesia.
“Perkara ini saya melihat sebagai peluang untuk JDT mendapatkan pemain asal dari Sepanyol yang begitu berpengalaman, berkualiti untuk bermain dalam pasukan kita,” kata TMJ ketika sesi khas bersama peminat JDT malam tadi.
Amat yang kini berusia 30 tahun sebelum ini pernah menyatakan keinginannya untuk beraksi di dalam kancah bola sepak Asia selepas merasai pengalaman hampir 12 tahun di Eropah.
Di Eropah, pemain pertahanan tengah itu pernah beraksi bersama Espanyol, Rayo Vallecano, Real Betis, Swansea City dan K.A.S Eupen dari Belgium. – MalaysiaGazette