Home Sukan Terbuka Malaysia: Yamaguchi tewas pada aksi pusingan pertama

Terbuka Malaysia: Yamaguchi tewas pada aksi pusingan pertama

Pemain perseorangan Jepun, Akane Yamaguchi. foto NOOREEZA HASHIM, 06 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Terbuka Malaysia 2022 bermula dengan kekecewaan terbesar kejohanan badminton itu apabila pemain wanita nombor satu dunia Akane Yamaguchi disingkirkan oleh pemain Indonesia Gregoria Mariska Tunjung pada pusingan pertama.

Pemain dari Jepun berusia 25 tahun itu dikejutkan dengan kekalahan straight set kepada Gregoria 14-12, 14-21 pada perlawanan pembukaan yang berlangsung selama 27 minit di Axiata Arena di sini hari ini.

Ia merupakan kekalahan kedua Yamaguchi kepada bekas Juara Remaja Dunia berusia 22 tahun itu dalam 10 pertemuan, dengan yang pertama adalah perlawanan pertama mereka pada acara berpasukan Sukan Asia 2018 di Jakarta.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan itu, penyandang juara dunia Yamaguchi berasa tidak percaya beliau tewas dalam aksi itu.

“Beliau (Gregoria) sangat fokus dalam perlawanan ini dan saya tidak beraksi dengan baik. Saya masih tidak percaya kenapa saya kalah,” katanya.

 

Sejak memenangi All England pada Mac, pemain Jepun itu masih belum memenangi sebarang gelaran dengan yang terbaik adalah kedudukan kedua pada Kejohanan Asia.

Sementara itu, Gregoria bersetuju bahawa Yamaguchi tidak berada dalam prestasi terbaiknya hari ini.

“Mungkin saya ada sedikit kelebihan kerana beliau belum dapat memberikan tekanan pada set pertama, mungkin tidak bersedia, manakala pada set kedua saya mulakan dengan lebih baik.

“Saya tidak letak sasaran khusus di sini, ambil pendekatan langkah demi langkah dan mahu lebih bagus berbanding kejohanan sebelum ini,” katanya.

Pada pusingan kedua, Gregoria dijadual berhadapan pemenang antara dua pemain China, Wang Zhi Yi dan He Bing Jiao. – Bernama