GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) melanjutkan tempoh pemberian diskaun 50 peratus kepada pengguna feri RORO sehingga hujung tahun ini.
Pengerusinya, Datuk Tan Teik Cheng berkata, inisiatif itu diharap membantu mengurangkan bebanan kos perjalanan mereka yang berulang-alik menggunakan Feri RORO iaitu bagi penumpang motosikal, basikal dan beca.
“Selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia, semua lapisan masyarakat tanpa mengira samaada warganegara Malaysia atau tidak, akan dapat menikmati pembiayaan ini.
“Dengan pemberian 50 peratus diskaun terhadap tambang Feri RORO, semua penunggang motosikal hanya perlu membayar RM1 manakala penunggang basikal hanya membayar 70 sen sahaja.
“Inisiatif ini dijangka dapat memberi manfaat kepada 100,000 pengguna motosikal dan basikal yang menggunakan perkhidmatan feri ini dalam tempoh enam bulan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai inisiatif itu, Teik Cheng berkata, sebagai sebuah Badan Berkanun Persekutuan (BBP) bawah Kementerian Pengangkutan, SPPP telah melaksanakan inisiatif di bawah aspirasi Keluarga Malaysia dengan mengumumkan pemberian diskaun 50 peratus selama enam bulan bermula 1 Januari lalu.
Sehingga 31 Mei lepas, sejumlah 62,564 buah motosikal dan 1 393 buah basikal telah menikmati manfaat daripada pemberian diskaun berkenaan yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM65,539. – MalaysiaGazette