KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan penemuan mayat seorang pelajar lelaki di sebuah bilik di kolej Universiti Putra Malaysia (UPM) petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A.Anbalagan berkata, penemuan mayat itu susulan bau busuk dari dalam bilik yang didiami seorang diri pelajar berkenaan di Tingkat 5, Blok L6, UPM.
Pelajar berusia 29 tahun itu dalam Semester 6, Sarjana Sastera di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (Semester 6)
“Mayat ditemui dalam keadaan tidak berbaju, berseluar panjang dan dalam keadaan terlentang di atas lantai tepi katil,” katanya dalam kenyataan di sini.
Siasatan mendapati barangan berharga seperti laptop dan telefon bimbitnya masih ada di dalam bilik.
Malah, tiada unsur-unsur jenayah dikesan di tempat kejadian, tambah Anbalagan.
Berdasarkan siasatan, polis diberitahu, saksi ke bilik tersebut pada jam 4.30 petang kerana sudah lama tidak berjumpa dengan simati dan terhidu bau busuk dari dalam bilik.
“Saksi kemudian memberitahu kepada Felo Pelajar dan beliau bersama kakitangan serta beberapa pelajar kolej membuka pintu menggunakan kunci pendua.
”Apabila pintu dibuka, dapati simati terbaring dan bilik berbau busuk. Kemudian felo hubungi pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kali terakhir simati dijumpai adalah dua hari lepas.
Anbalagan berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat. – MalaysiaGazette