KUALA LUMPUR – Susulan pengumuman kerajaan untuk tidak melanjutkan pengecualian cukai jualan kenderaan, jualan kereta untuk tempoh akhir bulan ini dijangka meningkat.
Penjual kenderaan juga melihat pengumuman kerajaan sebagai bermakna pembeli yang menjelaskan yuran tempahan sebelum 30 Jun layak menerima pengecualian cukai, walaupun pinjaman mereka belum diluluskan bank.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia, Datuk Aishah Ahmad berkata, jualan kereta pada Mei telah merosot 12 peratus disebabkan cuti panjang dan kekurangan peranti tertentu.
Katanya kepada China Press, pengumuman pengecualian cukai jualan sehingga Jun dijangka menaikkan semula jualan malahan membantu mencapai sasaran jualan 600,000 kenderaan pada tahun ini.
Beliau berkata, jualan kereta pada April adalah 56,213 buah dan 49,603 buah pada Mei atau 265,656 buah dari Januari.
Aishah berkata, ahli persatuan mempunyai banyak tempahan tunggakan dan keputusan kerajaan membenarkan pengecualian cukai untuk tempoh serahan sehingga Mac tahun depan untuk tempahan sebelum 30 Jun tahun ini akan menenangkan pembeli.
Katanya, keadaan itu juga mengelakkan pembeli membatalkan tempahan.Jelasnya, tempoh serahan pada masa ini adalah berbeza-beza dengan ada yang menunggu tiga bulan, enam bulan, malahan lapan bulan.
“Daripada tempahan sehinggalah penerimaan dan pendaftaran di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), prosesnya mengambil masa tiga hingga enam bulan.
“Pengumuman kerajaan membantu kami menghadapi isu tunggakan tempahan yang sedang berlaku,” katanya.
Ujarnya, tidak kira kenderaan buatan tempatan atau luar negara, masa serahan adalah lama.
Katanya, jualan kenderaan dijangka meningkat pada Jun sebelum menurun semula, tetapi akan naik semula selepas satu tempoh.
“Keadaan seperti ini akan berlaku setiap kali ada pengumuman dasar kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette