KUALA LUMPUR – Gelombang kenaikan harga melanda Malaysia!
Pelbagai jenis barangan bukan makanan dilaporkan sedang atau telah mengalami kenaikan harga susulan inflasi global yang berlaku.
Barangan elektrik sebagai contoh dijangka mengalami kenaikan harga antara 9 hingga 15 peratus pada Julai.
Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Peralatan Elektrik Malaysia, Ng Chye Weng berkata, penurunan nilai ringgit dan kenaikan kos bahan api menyebabkan kebanyakan jenama terkenal mengalami trend kenaikan harga.
Katanya, peralatan elektrik itu melibatkan pendingin udara, alat elektrik kecil kegunaan kediaman, peti sejuk dan mesin basuh.
“Satu jenama pendingin udara yang terkenal pada masa ini dijual dengan RM1,100, tetapi pembekal memaklumkan kenaikan harga antara sembilan hingga 15 peratus pada Julai.
“Selain itu, bekalan pendingin udara masih kekurangan kerana isu kekurangan cip,” katanya kepada China Press.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Pertubuhan Penjual Alat Tulis dan Buku Malaysia, Annie Chia berkata, harga alat tulis telah dinaikkan secara berperingkat sejak April, tetapi penyelarasan harga agak stabil pada masa ini.
Katanya, produk plastik menerima impak lebih besar tetapi kenaikan harga adalah dalam lingkungan lima peratus.
“Produk kertas juga terjejas, tetapi tidaklah terlalu besar,” katanya.
Sementara itu, Presiden Majlis Perabot Malaysia (MFC), Khoo Yeow Cheong berkata, harga bahan mentah perabot telah meningkat 10 hingga 40 peratus, menyebabkan harga produk siap meningkat kira-kira 20 peratus.
Katanya, harga kayu, logam dan span telah mengalami kenaikan harga setiap bulan sejak dua tahun lalu, iaitu semasa kawalan pergerakan.
Menurutnya, walaupun perabot melibatkan skop dan jenis yang luas, tetapi dianggarkan secara umumnya, harga perabot telah mengalami kenaikan harga 20 peratus.
Ujarnya, kenaikan harga adalah jelas untuk perabot berjenama sementara penjual perabot tidak berjenama tidak berani menaikkan harga. – MalaysiaGazette