ALOR SETAR – Pakatan Harapan yang menggabungkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR mengumumkan barisan kepimpinan jawatankuasa gabungan itu di Kedah malam tadi.
Pengumuman itu dibuat Pengerusi Pakatan Harapan merangkap Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap pada Rapat Umum Selamatkan Malaysia dan Kenduri Rakyat gabungan empat parti pembangkang itu di sini.
Pengerusi Pakatan Harapan Kedah disandang Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir manakala jawatan Timbalan Pengerusi disandang Anggota Parlimen Kuala Kedah daripada PKR Dr Azman Ismail; Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh dan Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew.
Selain itu, Ketua Sekretariat pula ialah Dr Abdul Rahman Ahmad daripada Amana;, Setiausaha PPBM Kedah, Datuk Abdul Aziz Mahmud (Bendahari); Ketua Pemuda Amanah Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris (Ketua Pemuda Pakatan Harapan Kedah) dan Ketua Wanita PKR Kedah, Nurin Aina Abdullah (Ketua Wanita Pakatan Harapan Kedah).
Timbalan Pengerusi PPBM Kedah, Mejar (B) Anuar Abdul Hamid menyandang jawatan Pengarah Penerangan manakala Timbalan Pengerusi Amanah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi pula Pengarah Pilihan Raya.
Lima anggota jawatankuasa ialah Gooi Hsiao Leung (PKR), G. Karunagaran (DAP), Dr R. Krishnamoorthy (PKR), Aris Awang (Amanah) dan Beh Poh Kheng (DAP). – Bernama