KUALA LUMPUR- Kerajaan yang ditunjangi parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti UMNO, MCA dan MIC diminta meletakkan kepentingan nasional dalam mendokong perlembagaan negara, bukannya tunduk kepada tekanan populis.
“Jangan kerana mahukan undi atau kerana popular dibuat kenyataan-kenyataan atau keputusan membelakangkan kepentingan nasional atau perlembagaan.
“Kepentingan politik adalah sementara tetapi survival negara adalah sesuatu yang perlu kita pertahankan,” kata Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Dr Ibrahim Ali selepas merasmikan persidangan tahunan khas Perkasa kawasan Parlimen Lembah Pantai.
Ujarnya, DAP akan terus memainkan peranan agar matlamat mereka tercapai, namun kecenderungan kerajaan untuk tunduk dengan perjuangan mereka untuk meraih undi dibimbangi hanya akan memudahkan kerja parti pembangkang.
Ibrahim memberi contoh isu pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diperjuangkan selama ini oleh pembangkang termasuk DAP akhirnya dimansuhkan kerajaan demi meraih populariti dalam kalangan pengundi.
Dalam masa sama, beliau menolak pandangan perjuangan MCA kini seolah-olah cenderung menyerupai DAP.
“Walaupun dia (MCA) cakap sama macam DAP, menuntut sama macam DAP, MCA dan Gerakan pun serang Perkasa, saya faham. Namun MCA tetap mendokong BN. DAP bawa perjuangan Malaysian Malaysia,” tambah Ibrahim.
Malahan kesemua Pakatan Harapan secara ketara tunduk kepada DAP.
“Saya mengambil contoh (Tan Sri) Muhyidin (Yassin) dulu dia Menteri Pendidikan dia tak sokong UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu). Sekarang dia dah mula goyang.
“Apa sahaja yang disuarakan Pakatan Harapan akan bercanggah dengan DAP kerana tidak selaras dengan kehendak mereka,” ujar Ibrahim.
Beliau menyifatkan pakatan pembangkang itu diketuai DAP kerana dominasi parti itu.
Selain merasmikan persidangan itu, Ibrahim turut membuat lawatan ke Free Market serta menyaksikan pertandingan mewarna. – Malaysia Gazette