KUALA LUMPUR – Jordi Amat Maas menegaskan perpindahan beliau ke skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) bukan atas faktor wang semata-mata.
Jelas beliau, tindakannya menyertai skuad Harimau Selatan itu adalah atas beberapa faktor termasuk sebagai jalan untuk menyesuaikan diri di Asia berdekatan Indonesia.
Selain itu, antara sebabnya adalah melanjutkan persaingan di peringkat tertinggi bola sepak Asia kerana JDT bersaing di Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Bintang baharu JDT itu berkata, sebelum perpindahan ke kelab selatan tanahair itu, beliau pernah menerima pendapat daripada kenalan dan bekas rakan sepasukannya.
Jordi juga dalam masa sama mengakui kagum dengan fasiliti kelab milik Tunku Sultan Ismail Sultan Ibrahim itu, yang dikatakan belum pernah ditemui semasa bermain untuk kelab-kelab lalu.
“Johor hanya dua jam perjalanan dari Indonesia menggunakan pesawat dan kelab bola sepaknya masih bersaing di 16 terbaik ACL”
“Dengan dengan undangan dari @hrhcrownprinceofjohor (Tunku Ismail), saya dapat mengunjungi semua fasiliti mereka, dan saya boleh jamin kepada rakan-rakan bahawa fasiliti seperti ini belum ditemui pada pasukan saya sebelum ini” ujarnya menerusi satu kenyataan di Instagram hari ini.
Jordi secara rasmi menjadi pemain JDT, apabila kelab itu mengumumkan beliau sebagai pemain baharu yang ditandatangani mereka selepas berjaya mendapatkan bekas pertahanan KL City, Daniel Ting.
Selain bermain untuk Swansea City, Jordi juga pernah menjadi pemain pertahan bersama beberapa kelab Sepanyol termasuk Rayo Vallecano, Espanyol dan Real Betis.
Dalam pada itu, Jordi dalam kenyataan sama turut menafikan tuduhan bahawa beliau mendapatkan pasport Indonesia bertujuan menjadi pemain import kuota Asia untuk JDT.
“Saya ingin semua orang tahu bahawa sebelum saya mengambil keputusan ini, saya juga mendapat beberapa tawaran dari beberapa liga besar dari negara lain.
“Saya juga ingin memaklumkan bahawa nenek saya lahir, membesar dan tinggal di Makassar, Indonesia di mana saya masih mempunyai keluarga di sana.
“Saya sangat bangga mewakili pasukan kebangsaan Indonesia, dengan tujuan untuk membantu pasukan kebangsaan dengan kerja keras dan pengalaman saya.
“Semua itu akan saya sertakan dan akan diusahakan untuk membuat kalian bangga dengan pencapaian akan datang” katanya. – MalaysiaGazette