KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan menetapkan harga siling runcit baharu bagi ayam dan telur dapat membantu mengekang pelarasan lebih besar yang meningkatkan lagi inflasi makanan secara menyeluruh, kata MIDF Research.
Menurutnya, ini penting memandangkan inflasi makanan tersebut telah mencecah paras tinggi untuk beberapa tahun berdasarkan data Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Mei 2022.
“Sebagai contoh, harga siling baharu ayam pada RM9.40 sekilogram untuk Semenanjung Malaysia yang meningkat sebanyak 5.6 peratus daripada paras sebelumnya pada RM8.90 sekilogram.
MIDF Research juga menyifatkan keputusan Lembaga Pertubuhan Peladang untuk mengimport 4,500 tan ayam dari Thailand berupaya menstabilkan bekalan ayam di pasaran domestik selain mengehadkan tekanan kenaikan harganya pada masa ini.
“Bagi tempoh-tempoh seterusnya, kami menjangkakan kerajaan akan terus meninjau lebih banyak inisiatif untuk meredakan tekanan kenaikan harga makanan untuk jangka panjang,” katanya.
Semalam, Jemaah Menteri telah memutuskan untuk tidak mengapungkan harga ayam sebaliknya meneruskan subsidi dan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram di Semenanjung Malaysia mulai 1 Julai ini.
Serentak dengan keputusan itu, harga runcit telur ayam ditetapkan pada kadar 45 sen sebiji untuk gred A manakala gred B (43 sen sebiji) dan gred C (41 sen) di Semenanjung Malaysia. – BERNAMA