Home Dunia MH17: Georgia serah peluru berpandu Buk kepada Belanda

MH17: Georgia serah peluru berpandu Buk kepada Belanda

AMSTERDAM – Tentera Belanda telah menerima sistem peluru berpandu Buk yang akan digunakan dalam siasatan kemalangan pesawat MH17 yang ditembak jatuh, lapor rangkaian televisyen, RTL Nieuws.

Menurutnya, pegawai risikan dan perkhidmatan keselamatan Belanda terbang ke Georgia dengan pesawat kargo Hercules milik Kementerian Pertahanan Belanda pada 21 Februari lalu.

Di Georgia, pihak berkuasa menyerahkan sistem Buk kepada mereka.

Keesokannya, pesawat itu terbang ke pengkalan tentera udara Gilze-Rijen bersama peluru berpandu itu.

Ketua Pejabat Pendakwaraya Georgia mengesahkan laporan tersebut dengan berkata, Belanda telah meminta bantuan perundangan Georgia pada 27 Januari lalu. Georgia bersetuju untuk membantu dan menyerah peluru berpandu Buk kepada Belanda pada Februari lalu.

Seorang wakil Pejabat Pendakwaraya Belanda yang juga mengesahkan laporan itu berkata, negara itu telah membuat permohonan bantuan perundangan kepada Georgia selepas berunding dengan Institut Forensik Belanda untuk mengumpul sebanyak mungkin data.

“Untuk tujuan ini, Kumpulan Penyiasatan Bersama (JIT) telah menghubungi bebebrapa negara termasuk Finland, Ukraine dan Georgia. Selari dengan Resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 2166, Georgia menyediakan bantuan perundangan yang diperlukan dan pada awal 2017 peluru berpandu Buk diperolehi untuk siasatan jenayah,” katanya.

Saluran televisyen Belanda yang merujuk kepada sumbernya berkata, peluru berpandu Buk juga diperolehi Kementerian Pertahanan Belanda untuk mengkaji ciri-cirinya. Kementerian itu mahu mengetahui sejauh mana peluru berpandu itu boleh mendatangkan ancaman kepada pesawat JSF (Pesawat tempur bersama – Joint Strike Fighter).

Program itu menyatakan ia bukannya pertama kali peluru berpandu Buk digunakan Belanda dalam siasatan kemalangan MH17. Sebelum ini, ujian telah dilakukan di Finland yang mana tenaga letupan peluru berpandu itu diuji.

Pesawat Boeing, B777 milik Malaysia Airlines yang menuju ke Kuala Lumpur dari Amsterdam ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 di wilayah Donetsk, dikuasai puak pemisah Rusia.

Kesemua 298 penumpang daripada 10 negara terbunuh dalam insiden tersebut. Majoroti penumpang, 196 orang, adalah warga Belanda.

Pada 13 Oktober 2015, Lembaga Keselamatan Belanda mengeluarkan laporan punca kemalangan itu. Ia mendedahkan pesawat tersebut ditembak jatuh oleh sistem peluru berpandu anti pesawat Buk.

Laporan JIT yang diperbitkan pada 28 September 2016 mengesahkan pesawat terbabit telah ditembak jatuh oleh peluru berpandu Buk buatan Rusia yang dibawa ke Ukraine dari Rusia.

Ketua Pendakwaraya Belanda, Fred Westerbeke berkata, pihaknya telah mengenalpasti 100 orang yang mempunyai kaitan dalam siasatan yang dilakukan, termasuk mereka yang mengatur dan memantau pengangkutan pelancar dari Rusia ke Ukraine dan pulang semula ke negara itu. – Agensi