KUALA LUMPUR – Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi diminta tidak mencampuri urusan Majlis Pemulihan Negara (MPN).
Sebaliknya beliau didesak untuk segera menjawab dakwaan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkaitan Akuan berkanun (SD) menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.
Ketua Armada Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Ahmad Zahid tidak sepatutnya terus berdolak dalih agar ahli UMNO mendapat jawapan sebenar.
“Saya yakin sehingga kini ahli-ahli UMNO masih tertunggu-tunggu jawapan ‘pemimpin’ mereka yang sangat disanjungi itu. Perjelaskanlah kepada mereka wahai Zahid. Tak perlu nak alihkan isu.
“Kalau tak ingat soalan tak apa, saya bantu. “Betul atau tidak kamu ada tandatangan SD sokong Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri?”
“Jawab yang itu dulu sebelum nak sibuk urusan Majlis Pemulihan Negara. Bubar atau tidak, itu tak ada kena mengena dengan kamu. Itu urusan kerajaan,” katanya.
Ahmad Zahid dalam satu kenyataan hari ini berkata, fungsi MPN sudah tidak berkesan dan bercanggah dengan usaha-usaha terkini kerajaan untuk menangani masalah-masalah rakyat dengan tertubuhnya Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.
Menurut Ahmad Zahid, kewujudan MPN yang dipengerusikan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dari awal lagi tidak membuahkan hasil dan berfungsi hanya sebagai penasihat kepada kerajaan.
Wan Ahmad Fayhsal menegaskan tuduhan Ahmad Zahid terhadap MPN tidak benar kerana majlis yang dianggotai oleh para menteri dan pakar-pakar dalam pelbagai bidang ekonomi, sosial, industri telah menjalankan tugas dengan baik.
“Kalau Zahid nak tahu, setiap bulan ahli MPN akan bertemu, berbincang dan mendengar segala cadangan yang dikemukakan oleh kementerian, agensi dan NGO dengan iltizam untuk memulihkan ekonomi negara.
“Hasil daripada perbincangan-perbincangan tersebut, MPN akan mencadangkan pula kepada ahli kabinet untuk diambil tindakan menerusi kementerian dan agensi masing-masing.
“Ha! Itu saya dah jawabkan. Sekarang ni giliran kamu pula jawab Tajuddin. Berkata benarlah walau pahit wahai Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi!” kata Wan Ahmad Fayhsal.
Tiga hari lalu Tajuddin mendedahkan, sememangnya wujud akuan bersumpah dalam kalangan Ahli Parlimen UMNO termasuk Ahmad Zahid yang menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.-MalaysiaGazette