KUALA LUMPUR – Segala-galanya telah sempurna daripada segi persembahan namun ketumpulan penyudah membuatkan Terengganu FC terpaksa menggigit jari apabila sekadar seri tanpa jaringan berdepan Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.
Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain, mengakui satu kerugian buat mereka tidak mencapai kemenangan kerana bermain di laman sendiri.
Tambahnya, pemain telah menunjukkan peningkatan serta motivasi yang sangat baik berbanding semasa tewas 1-2 kepada Penang FC tetapi belum mencukupi bagi menumbangkan kekentalan benteng Negeri Sembilan.
“Melihatkan keputusan ini, rasa rugi sangat terlepas tiga mata biarpun secara keseluruhan kita telah beraksi dengan sangat baik.
“Dari minit pertama, walaupun keadaan padang basah ekoran hujan lebat,saya tidak mahu memperkatakan apa-apa tentang persembahan pemain kecuali meletakkan bola dalam jaring.
“Saya tahu bukan mudah jaringkan gol dan kena selalu mencipta peluang tetapi bila dapat perlawanan yang susah untuk dapatkan peluang, kami kena guna sebaiknya.
“Jadi kami kena tingkatkan lagi aspek penyudah bagi perlawanan akan datang dan berdepan Sri Pahang pada perlawanan akan datang, kami tidak boleh lagi keciciran mata,” katanya.
Terengganu mendapat dua peluang terbaik pada separuh masa pertama melalui Tchetche Kipre pada minit-13 selain Kpah Sherman di minit 36.
Menjelang 10 minit terakhir separuh masa kedua, Faisal Halim dan Manuel Ott berpeluang memecahkan kebuntuan namun kecemerlangan Ahmad Syihan Hazmi mengecewakan tuan rumah.
Keputusan seri itu meletakkan Terengganu di tangga ketujuh dengan pungutan 10 mata setelah beraksi dalam tujuh perlawanan.
– MalaysiaGazette