SHAH ALAM – Sebanyak 143,630 notis saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dikeluarkan terhadap 136,448 warga asing atas pelbagai kesalahan dalam Ops Pemandu Warga Asing atau Ops PEWA antara 2019 hingga Mei 2022.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi), Aedly Fadly Ramli berkata, antara kesalahan itu ialah tiada lesen memandu dan lesen memandu tamat tempoh.
“Ops PEWA yang dijalankan sejak tiga tahun lalu juga mendapati, ramai warga asing yang dikenakan notis saman kerana kesalahan tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM).
“Turut dikompaun atas kesalahan tiada lesen memandu kenderaan perkhidmatan awam,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu beliau bersama JPJ Selangor menjalankan Ops PEWA secara bersepadu bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sekitar Persiaran Budiman, Taman Seri Muda, di sini.
Hadir sama Pengarah JPJ Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya dan Timbalan Pengarahnya, Mohamad Kamaruzaman.
Sementara itu, sebanyak 6,581 notis saman dikeluarkan terhadap 566 warga asing di Selangor atas kesalahan sama antara 2019 hingga 23 Jun 2022.
“Semua pengguna jalan raya dinasihatkan sentiasa bertanggungjawab mematuhi peraturan jalan raya di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” katanya.
Menyentuh Ops PEWA di Seksyen 25 di sini sejak jam 8.30 pagi tadi, beliau berkata, sebanyak 714 kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa.
“Hasil operasi itu, JPJ Selangor mengeluarkan sebanyak 132 notis ke atas pemandu warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan.
“Kali ini kita memfokuskan di kawasan Seksyen 25 Shah Alam kerana didapati kawasan ini banyak warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan.
“Sehingga jam 5 petang tadi, kita menyita sebanyak 22 kenderaan iaitu 19 motosikal, dua lori dan sebuah motokar atas pelbagai kesalahan.
“Kenderaan ini akan disita dan pemilik-pemilik kenderaan ini akan diambil tindakan mahkamah di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette