KUANTAN – Umum mengetahui bahawa jemaah yang berdaftar dengan Lembaga Tabung Haji (TH) dipilih untuk menunaikan haji berdasarkan beberapa kriteria dengan keutamaan diberi kepada warga emas dan golongan kali pertama.
Namun terdapat pihak yang ragu-ragu jika amalan itu masih dipraktikkan TH dalam menentukan penggiliran jemaah haji.
Penyelaras NGO Angkatan Pembela Rakyat (Angkara), Mohd Shukri Mohd Ramli memberitahu, terdapat warga emas yang masih menunggu giliran untuk ke tanah suci sejak bertahun lamanya.
“Persoalan ini timbul apabila saya dihubungi oleh seorang warga emas yang telah mengubungi pihak TH berkali-kali dan bertanya jika dia layak tapi TH minta tunggu panggilan atau giliran yang berikutnya.
“Tiba-tiba apabila dia tengok televisyen, terpapar kisah seorang anak muda yang gembira dapat pergi haji kali kedua. Bukan melalui swasta tapi melalui TH.
“Jadi kita nak tahu, bagaimana pemilihan yang dilakukan TH. Kuota kita semakin berkurangan, kerajaan menghadkan golongan berusia 65 tahun ke bawah, jadi ramai lagi mereka yang sepatutnya boleh menunaikan haji tahun ini tidak terpilih,” kata Mohd Shukri dengan nada kesal ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Dalam masa sama, beliau juga mahu pihak berkaitan menjelaskan jika pengurangan kuota bagi jemaah haji yang berdaftar dengan TH turut meliputi jemaah yang memilih pakej di bawah agensi swasta.
“Tetapi andai kata untuk swasta ini, iaitu yang kita panggil pakej VIP, pakej kayangan ini termasuk dalam kuota haji untuk negara kita yang diperuntukkan oleh kerajaan Arab Saudi, saya rasa sudah tiba kuota untuk VIP ini dikurangkan,” jelasnya.
Pada April lalu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin mengumumkan pemilihan jemaah haji tahun ini mengutamakan bakal haji yang giliran tunai haji pada 2020, diikuti giliran pada 2021 dan seterusnya 2022.
Seramai 14,306 jemaah haji dari Malaysia dibenarkan untuk mengerjakan haji tahun ini iaitu 45 peratus daripada kuota biasa yang diberikan Arab Saudi iaitu 31,600 jemaah pada 2019.-MalaysiaGazette