WASHINGTON – Penunjuk perasaan dengan pakaian hitam memecah tingkap-tingkap premis perniagaan dan menghalang lalu lintas di Washington ketika berlangsungnya majlis angkat sumpah Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat yang baharu.
Mereka juga bertindak membaling botol dan batu ke arah polis.
Kira-kira 500 orang memakai topeng, dipercayai kumpulan anti-Trump berarak sambil memegang sepanduk “Make Racists Afraid Again” – berbanding kempen Trump “Make America Great Again”.
Tunjuk perasaan itu berlaku kira-kira 90 minit sebelum majlis angkat sumpah berlaku.
Tindakan ganas penunjuk perasaan itu menyebabkan polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata untuk mengawal keadaan.
Berpuluh-puluh orang telah ditahan polis. Dua anggota polis dilaporkan cedera dalam kejadian keganasan itu.
Tidak jauh dari White House, para penunjuk perasaan membaling kerusi di luar kafe.
Jumlah rakyat Amerika yang menyaksikan majlis angkat sumpah itu agak kecil berbanding dua juta orang yang menyaksikan pelantikan Barack Obama pada tahun 2009.
Rakaman video menunjukkan kawasan sekitar National Mall sebahagian besarnya kosong.
Media-media tempatan melaporkan ketegangan berlaku di atas jalan-jalan raya di Washington antara penyokong dan penentang Trump.
Sementara itu di Tokyo beratus-ratus ekspatriat Amerika juga berada di jalan raya bagi menentang pelantikan Trump.
Di London pula, penentang Trump meletakkan sepanduk “Build bridges not walls” di Tower Bridges.
Tetapi di Moscow, seoarang tukang di bandar Zlatoust telah mengeluarkan siri terhad duit emas dan perak syiling peringatan yang diukir “In Trump We Trust.” – MalaysiaGazette