Home Rencana Sektor pelancongan menarik untuk kerjaya

Sektor pelancongan menarik untuk kerjaya

Suasana Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dipenuhi dengan pelancong dari luar negara susulan pelaksanaan Fasa Peralihan Endemik di Sepang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 01 APRIL 2022.

BARU-baru ini Malaysia sekali lagi mendahului senarai destinasi percutian mesra Muslim terbaik bagi industri pelancongan. Menurut Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) Mastercard-CrescentRating 2022, Malaysia mendahului Turki, Arab Saudi dan Indonesia sekaligus meletakkan negara ini sebagai sebuah destinasi pilihan pelancong Muslim dunia. Ini jelas menunjukkan potensi besar dalam bidang pelancongan selepas sekian lama bergelut dengan kegawatan akibat dari pandemik
Covid-19 yang melanda.

Namun, berbanding bidang sains tulen dan bidang lain dalam program sains sosial, program pelancongan dan hospitaliti masih lagi kurang popular dan diberi perhatian khusus oleh ibu bapa. Malah, kajian yang dijalankan sebelum ini berkaitan persepsi pelajar dan ibu bapa berkaitan program pelancongan dan hospitaliti menunjukkan bidang ini diangap sebagai bidang kerja untuk golongan kurang mahir dan memberi hasil pendapatan yang rendah. Malahan, terdapat pandangan yang mengatakan pelancongan dan hospitaliti merupakan bidang yang tiada peluang untuk peningkatan kerjaya masa depan.

Hal ini sekaligus, membuka cabaran di dalam industri untuk menarik minat golongan belia supaya mengambil peluang kerjaya dalam sektor pelancongan dan juga untuk mengekalkan mereka dalam pasaran kerjaya yang bersaing tinggi ini. Lebih menyedihkan bidang pelancongan dijadikan sebagai pilihan akhir pelajar lepasan SPM dan Diploma dalam memilih bidang pengajian. Perspesi dan pandangan awal yang penuh sinikal ini menjadikan bidang ini kelihatan tiada potensi dan ruang didalam negara dan global.

Amat sedikit dalam kalangan golongan pelajar, ibu bapa dan masyarakat yang tahu tentang potensi dan peluang kerjaya dalam bidang pelancongan dan hospitaliti ini. Berdasarkan kajian yang dijalankan baru-baru ini,meskipun sudah berpuluh abad bidang pelancongan wujud didunia ini hanya pelajar yang mempunyai ahli keluarga yang telibat secara lansung dalam bidang pelancongan yang akan cenderung untuk memilih sektor pelancongan sebagai pilihan utama dan kerjaya masa depan seperti mana yang penah diketengahkan oleh penyelidik terdahulu Bain dan Fotler pada tahun 1984.

Sebenarnya jika dilihat dari sektor ekonomi negara ini, pelancongan sebenarnya antara penyumbang terbesar dalam pendapatan negara sebelum pandemik melanda. Pada tahun 2019 contohnya, sektor pelancongan negara menyumbang sebanyak RM86.14 billion kepada ekonomi Malaysia. Malah, baru-baru ini sejajar dengan Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 yang merupakan kesinambungan daripada Pakej Ransangan Ekonomi (PRE 1.0), bidang pelancongan dilihat mampu memberi ruang kerjaya masa depan yang semakin cerah bagi tahun mendatang. Turut dijangkakan graduan bidang pengurusan pelancongan
dan hospitaliti bakal menjadi graduan yang paling diperlukan didalam industri global.

Tambahan pula, sejak sempadan negara dibuka pada April lalu, Malaysia menerima kira-kira satu juta pelancong luar sekaligus menunjukkan sasaran kempen ‘Malaysia Truly Asia 2022’ hampir mencapai separuh daripada sasaran utama iaitu dua juta kemasukan pelancong luar. Sekaligus menambahkan pemintaan tenaga kerja dalam industri pelancongan dan hospitaliti bagi memenuhi kehendak dan jangkaan pelancongan yang semakin ramai.

Lebih menarik lagi, industri pelancongan dan hospitaliti kini ketandusan hampir 20,000 tenaga kerja kesan dari pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak 2020. Hal ini sekali gus menunjukkan ruang dan peluang kerjaya yang lebih cerah bagi graduan pelancongan dan hospitaliti negara bagi satu hingga lima tahun mendatang. Begitu juga dengan senario perkembangan sektor pelancongan dan hospitaliti di peringkat global yang dilaporkan pesat dari Januari 2022 oleh Pertubuhan Pelancongan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO), ruang kerjaya dalam bidang ini dijangka semakin cerah. Dengan pertumbuhan sektor pelancongan yang pesat, pemintaan untuk tenaga kerja dalam sektor ini terus meningkat menjanjikan ruang dan peluang yang terbuka luas untuk graduan dalam bidang pelancongan dan hospitaliti.

Ditambah lagi dengan kementerian pelancongan yang dilihat komited untuk terus merancakkan pertumbuhan ekonomi negara menerusi sektor pelancongan dalam negara, graduan bidang pelancongan dijangka bakal menjadi graduan paling laris
dalam dan luar negara. Justeru, disarankan agar, graduan dan bakal graduan bidang pelancongan dan hospitaliti mempersiapkan diri untuk menceburi bidang pelancongan dengan penuh gaya. Turut diharapkan dari potensi yang terbuka luas
dalam bidang pelancongan, pelajar lepasan SPM dan Diploma juga akan turut melihat potensi bidang ini sebagai peluang kerjaya di masa hadapan sekali gus
menjadikan bidang ini sebagai pilihan utama bidang pengajian.

Oleh: 

Dr. Nurul Nadirah Abu Hasan & Profesor Madya Dr Khairunneezam Mohd Noor, Pensyarah Program Pengurusan dengan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia