HOUSTON – Pemandu treler yang disyaki menyebabkan 53 pendatang mati akibat kepanasan di Texas tidak tahu pendingin hawa kenderaan itu berhenti berfungsi, kata seorang pemberi maklumat.
Menurut dokumen pertuduhan yang difailkan di mahkamah persekutuan, Homero Zamorano tidak mengetahui perkara itu.
Suspek telah ditemui bersembunyi berhampiran trak.
Warga Texas itu adalah satu daripada empat orang yang didakwa dalam insiden pemerdagangan manusia paling tragis dalam sejarah Amerika Syarikat (AS).
Beberapa kanak-kanak yang ditemui dalam kenderaan itu masih dirawat di hospital.
Dalam perkembangan lain, sebuah lagi trak yang membawa pendatang juga telah ditemui di Texas.
Zamorano, 45, dan konspirator Christian Martínez, 28, dituduh menghantar mesej antara satu sama lain mengenai operasi penyeludupan sebelum dan selepas trak itu ditemui.
Seorang pemberi maklumat sulit kerajaan yang bekerja untuk Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam dan polis Texas memberitahu, kedua-dua suspek itu telah berhubung selepas kematian dilaporkan.
Artikel berkaitan: 46 orang pendatang ditemui mati dalam treler terbiar
Empat didakwa selepas 53 migran maut dalam treler di Texas
Martínez didakwa memberitahu pemberi maklumat: “Pemandu tidak menyedari pendingin udara berhenti berfungsi dan menjadi punca pendatang-pendatang itu meninggal dunia,” menurut dokumen mahkamah.
Dokumen itu menambah, pemberi maklumat dan Martínez berdiri dalam jarak beberapa meter antara satu sama lain apabila perbualan dengan pemandu berlaku.
Zamorano ditemui bersembunyi di dalam semak berhampiran trak.
Pegawai Mexico berkata, dia pada mulanya beranggapan Zamorano sebagai salah seorang pendatang yang terselamat.
Dia ditahan apabila gambar pengawasan menunjukkan dia memandu trak itu melepasi pusat pemeriksaan Peronda Sempadan AS di Laredo, Texas, pada Isnin.
Menurut seorang ahli kongres Texas, suspek disahkan mengambil methamphetamine apabila dia ditangkap.
Kedua-dua lelaki berdepan hukuman mati jika didapati bersalah atas tuduhan penyeludupan dan konspirasi.
Dua lagi lelaki yang dituduh terlibat, Juan Claudio D’Luna-Méndez dan Francisco D’Luna-Bilbao, telah didakwa dengan memiliki senjata api dan berada di AS secara haram. Kedua-duanya adalah warganegara Mexico. – BBC