KUALA LUMPUR – Penjaga gol Melaka United FC, Bryan See Tian Keat sudah dapat melupakan kekecewaan di sebalik kegagalan semasa berdepan Sarawak United FC pada 25 Jun lalu.
Baginya insiden gol kedua Sarawak United melalui Gonzalo Soto sememangnya satu perkara yang jarang terjadi namun dia telah mengambilnya sebagai satu pengajaran berguna sebagai pemain profesional.
Justeru, Bryan tekad untuk kembali bangkit pada perlawanan seterusnya iaitu berdepan Johor Darul Ta’ zim(JDT) jika mendapat kepercayaan jurulatih, Mohd. Asri Ninggal.
“Saya sudah tidak memikirkan insiden berkenaan dan anggap itu sebahagian asam garam yang perlu dilalui dalam mana-mana karier penjaga gol.
“Dari sudut positif, saya rasa inilah satu pengalaman dan pengajaran yang amat berharga dan saya telah berbincang dengan beberapa jurulatih supaya dapat menangani situasi yang sama dengan lebih bijak.
“Bagi pasukan secara keseluruhan,sudah tentu kami sangat kecewa kerana gagal memungut tiga mata dan kami tidak boleh kalah lagi selepas ini,” katanya.
Gol kedua Sarawak United dianggap antara jaringan mengejutkan apabila bola sepakan percuma yang mengenai benteng melantun tinggi ke arah gol sebelum masuk ke dalam gawang.
Melaka United dijadualkan bertemu pendahulu Liga Super, JDT yang sedang berada di kemuncak prestasi pada Sabtu ini di Stadium Hang Jebat.
Jelas Bryan, dia mengimpikan prestasi yang sama ketika pernah bersama PDRM pada musim 2020 apabila hampir berjaya menghalang JDT meraih kemenangan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur namun tewas melalui sepakan penalti yang dijaringkan Diogo Santo.
“Diharapkan saya masih diberi kepercayaan dan bantu pasukan bagi berdepan JDT, antara perlawanan yang pasti sukar buat kami.
“Saya mahu ulangi prestasi yang sama semasa pernah mewakili PDRM pada dua tahun lepas ketika menentang JDT, antara persembahan terbaik saya sepanjang bermain di Liga Malaysia.
“Tambahan bermain di tempat sendiri, penyokong sudah tentu mahukan sesuatu daripada pasukan dan kami akan cuba berikan terbaik apabila berdepan JDT, ” katanya. – MalaysiaGazette