KUALA LUMPUR – Mencipta lagu-lagu sesuai dengan watak penyanyi, menjadi resepi yang menjadikan karya Datuk Seri Dr Ahmad Nawab kekal malar segar.
Justeru setelah tujuh dekad mengabdikan diri dalam bidang muzik, himpunan lagu beliau bakal berkumandang di Istana Budaya bermula malam ini.
Sejajar dengan status beliau sebagai Seniman Negara, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Binjamal Event selaku penerbit mementaskan Konsert Tribute Seniman Negara, Datuk Ahmad Nawab di Panggung Sari.
Turut terlibat dan menjadi rakan strategik bagi penganjuran konsert itu ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM).
Ia menjadi konsert ketiga yang mengetengahkan lagu-lagu ciptaan komposer kelahiran Pulau Pinang itu, selepas Melodi Emas pada 2002 dan Melodi Emas 2 pada 2006.
Ahmad Nawab melahirkan rasa terharu dan menyifatkan ‘Konsert Tribute Seniman Negara Dato’ Seri Ahmad Nawab’ adalah penghormatan dan penghargaan yang amat besar buat dirinya yang telah melibatkan diri dalam industri muzik lebih setengah abad, bermula dari 1950-an hingga kini.
“Saya rasa hendak menangis sebab terdengar semula lagu penyanyi-penyanyi di bawah didikan saya itu menyanyi dengan baik, rasa nak menangis saya pun terfikir bagaimana mana saya boleh hasilkan banyak lagu dan tiap-lagu lagu itu ada karakterkan.
“Jadi tulah saya duduk di belakang tadi meleleh juga lah saya penghargaan yang besar bagi saya”, katanya semasa sidang media selepas pratonton Konsert Tribute Seniman Negara Dato’ Seri Ahmad Nawab di Istana Budaya, kelmarin.
Sejak penglibatannya dalam industri muzik, figura lagenda ini telah menggubah lebih 20,000 lagu termasuk lebih 200 album yang didendangkan oleh artis-artis tempatan dan luar negara.
Sementara itu, menurut Datuk Jamal Abdillah, konsert hebat ini membariskan anak didik beliau yang bergandingan dengan penyanyi generasi baharu iaitu Wany Hasrita.
“Bagi saya untuk menarik generasi sekarang ini untuk mengenali Datuk Ahmad Nawab lagu-lagi ciptaannya perlu seorang yang ramai pengikut, seperti Wany Hasrita”, katanya.
Diiringi 60 pemuzik dari Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Konsert Tribute tersebut bakal mempersembahkan lebih 18 buah lagu yang dinyanyikan barisan penyanyi seperti Datuk Jamal Abdillah, Datuk Khatijah Ibrahim, Shidee serta Ramlah Ram.
Lebih menarik, Datuk Seri Dr. Ahmad Nawab bakal membuat penampilan khas pada konsert yang bakal berlangsung semalam hingga esok. – MalaysiaGazette