KOTA BHARU – Majlis Pemulihan Negeri perlu segera dibentuk bagi melancarkan usaha memulihkan ekonomi bersepadu melibatkan kerjasama kerajaan Pusat dan negeri, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, cadangan penubuhan majlis itu telah diusulkan kepada kerajaan dan dipersetujui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Muhyiddin berkata, majlis pemulihan itu sebaik-baiknya diketuai Menteri Besar atau Pengerusi Jawatankuasa negeri yang bertanggungjawab dalam soal ekonomi di peringkat negeri masing-masing kerana soal pentadbiran dan perniagaan ada kaitan dengan bidang kuasa kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau berkata demikian pada Majlis Dialog Pengerusi MPN Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Kelantan di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata aspek sedemikian jika tidak diberi tumpuan segera akan memberikan kesan besar antaranya pertambahan kadar kemiskinan.
“Jelas terbukti bilangan yang sudah jatuh miskin sangat ramai. Sebahagian besar kategori itu orang Islam termasuk bumiputera Sabah dan Sarawak,” kata Muhyiddin. – BERNAMA