Home Nasional Jihad Inflasi: Jangan syahid sebelum berjuang

Jihad Inflasi: Jangan syahid sebelum berjuang

Shaiful Hazizy Zainol Abidin

KUALA LUMPUR – Pasukan Khas Jihad Inflasi sudah pastinya satu permulaan yang baik namun ia tidak seharusnya dibiarkan sekadar menjadi gimik atau PR stunt semata-mata.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, satu mandat khas, yang dilengkapkan dengan strategi yang jelas dan berkesan perlu diterjemahkan dengan segera.

“Ini kerana penubuhan pasukan khas seperti ini akan meninggikan lagi jangkaan serta harapan rakyat yang sedang tersepit kepada pihak kerajaan.

“Adalah kritikal untuk kerajaan memastikan bahawa jangkaan dan harapan tersebut bukan sahaja tidak diketepikan, tetapi tidak dipermain dan dipolitikkan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Selain bertindak dengan pantas dan menyeluruh, beberapa perkara mesti diberikan penekanan yang serius oleh pasukan khas itu, kata Shaiful Hazizy.

Pertama, katanya, ia mesti turun ke padang dan menganalisis situasi sebenar di lapangan.

“Masyarakat mesti dilibatkan secara langsung dan menyeluruh. Ini bagi mengelak segala kajian atau dapatan bersifat ‘atas kertas’ dan terpisah dari realiti sebenar di luar sana,” jelasnya.

Kedua, menurutnya, proses komunikasi dan penerangan kepada rakyat mestilah berkala, jelas dan telus kerana rakyat sudah muak dengan pelbagai pengumuman yang akhirnya hanya menambahkan kekeliruan dan penuh dengan tanda tanya.

“Paling penting, pastikan setiap pengumuman mempunyai sesuatu yang benar-benar dapat dinikmati oleh rakyat.

“Ketiga, inisiatif dan saranan yang akan dibuat oleh pasukan khas ini mestilah merangkumi beberapa fasa. Jangka pendek, pertengahan dan panjang. Jika tidak, isu seperti ini akan terus berulang dan bermusim tanpa kesudahan,” katanya.

Keempat, menurutnya, selain memastikan yang harga barang dapat dikawal serta kadar inflasi kita tidak terus melonjak, adalah penting untuk pasukan khas ini memikirkan solusi atau saranan penambahbaikan dasar dan pendekatan kita dalam memastikan kecukupan dan keselamatan makanan.

“Dan ini tidak sama sekali sekadar mengambil jalan mudah dengan menyerahkan pelbagai program projek sedemikian kepada pihak GLC atau GLIC.

“Negara mesti mempunyai pelan khusus dan strategik dalam mewujudkan satu ekosistem pasaran yang mengambil berat aspek permintaan dan penawaran dengan cara baharu yang inovatif, lestari dan tidak mempunyai banyak ruang manipulasi.

“Saya sangat berharap yang pasukan khas jihad inflasi ini akan memberikan hasil baik yang sehebat namanya. Jihad adalah perkara yang besar dan penting. Lakukanlah dengan kesungguhan dan cara yang melayakkannya menjadi satu syahid,” katanya. – MalaysiaGazette