KUALA LUMPUR – Refleksi sindrom ketakutan mula menjangkiti gabungan parti Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) apabila timbul cadangan daripada pemimpin UMNO supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disegerakan.
Ini dijelaskan menerusi Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang menyelar kenyataan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi berhubung keperluan disegerakan PRU15.
Menurut Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, tuduhan Pengarah Komunikasi PKR itu kononnya Dr. Asyraf tidak sensitif dengan masalah rakyat hanyalah sekadar mempolitikkan kesengsaraan rakyat dan tidak tepat.
“Fahmi harus faham, kenaikan harga barang di negara ini adalah tempias dari krisis yang melanda global dan Malaysia tidak terkecuali dari menerima kesannya.
“Namun, melalui keprihatinan Perdana Menteri dari UMNO mengekang kesan krisis ini, kerajaan telah pun membelanjakan lebih RM77.3 billion sebagai bantuan subsidi kepada rakyat.
“Angka itu suatu jumlah subsidi kepenggunaan 2022 paling tinggi dalam sejarah negara dan sudah pastinya perkiraan ini diambil kira sebagai indikasi kesesuaian PRU15 diadakan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Semalam Fahmi dilaporkan menyelar Dr. Asyraf dengan menyifatkan Ketua Pemuda UMNO itu tidak sensitif apabila mengatakan PRU15 perlu diadakan seawal September atau Oktober ini.
Menurut beliau, sepatutnya semua pihak pada waktu ini bekerjasama membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup.
Kata Syed Mohd Johan Rizal, ketika Malaysia dilanda kesan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) separuh masak, Dr. Asyraf begitu lantang mendesak agar moratorium dan pencarum dibenarkan mengeluarkan wang mereka yang tersimpan di KWSP demi kelangsungan hidup rakyat berdepan pandemik.
Oleh itu, ujarnya, kenyataan Fahmi konon Dr. Asyraf tidak sensitif pada masalah rakyat adalah dangkal sama sekali dan apa pula cadangan yang Ahli Parlimen itu pernah utarakan selama ini jika merasakan dirinya seorang yang prihatin?
Kata beliau, apa yang dirisaukan tekanan dihadapi kerajaan dan juga rakyat diburukkan lagi dengan keadaan Malaysia yang dilihat memiliki kerajaan tidak berhala tuju, kurang stabil dan dibarisi menteri kabinet yang kurang pengalaman, tidak kompeten dalam mengendalikan krisis.
“Malah, kebanyakannya lebih mementingkan kepentingan politik kedudukan sahaja sehingga meletakkan Malaysia berdepan risiko lebih teruk sekiranya dibiarkan.
“Kami merasakan ada pihak bersikap ibarat enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing masing menyalahkan UMNO selaku Perdana Menteri selagi mandat sebenar rakyat tidak diperoleh.
“Contohnya, subsidi minyak diumumkan Menteri KPDNHEP dari Bersatu mengenai rasional subsidi ditarik sebelum ini berbaur sabotaj hingga Perdana Menteri terpaksa meredakan keadaan dan kekeliruan rakyat,” katanya.
Tegas beliau, Menteri KPDNHEP, Menteri Ekonomi dan Menteri Kewangan seolah gagal memahami rintihan masyarakat sehingga memburukkan reputasi Perdana Menteri di mata rakyat.
Berhubung ketakutan Fahmi mengenai gelombang Covid-19 seterusnya bakal berlaku jika PRU diadakan awal, Syed Mohd Johan Rizal mengingatkan pemimpin PKR itu bahawa kadar rakyat sudah divaksin dua dos telah mencapai 83.5 peratus.
Katanya, kadar kemasukan ke ICU juga turun kepada 0.1 peratus, manakala kemasukan ke hospital pula cuma 4.1 peratus.
“Ketika PRN Johor diadakan baru-baru ini, Jabatan Kesihatan Negeri sendiri mengesahkan tiada kluster Covid-19 baharu dari pilihan raya itu. Jadi, isu Covid-19 ini hanya dibangkitkan untuk menakut-nakutkan rakyat.
“Saya faham keadaan Fahmi yang mungkin berusaha mahu melewatkan PRU15 kerana PKR dan PH kini sebenarnya dalam keadaan kucar-kacir dan tidak bersedia hadapi PRU.
“Pendirian rakyat pula jelas menolak PH dan PN pada PRN Melaka, Sarawak serta Johor memberi gambaran jelas sebarang parti yang berkaitan PH tidak lagi relevan untuk dipilih pada PRU15 nanti,” katanya. – MalaysiaGazette