KUANTAN – Seorang suri rumah maut akibat ditikam di muka serta bahu dengan gunting oleh sepupunya di Taman Temerloh Makmur, Temerloh malam tadi.
Dalam kejadian pukul 9.20 malam itu, mangsa Robiatul Ain Mahamod, 27, pada mulanya dikatakan bertengkar dengan sepupunya yang berusia 26 tahun kerana dikatakan menghisap dadah dan mencuri di dalam rumah berkenaan.
Ketua Polis Temerloh, ACP Zundin Mahmood berkata berang dengan tuduhan itu, suspek yang berkerja sebagai pencuci kereta di kedai milik adik mangsa telah bertindak mengambil gunting dan menikam mangsa beberapa kali.
“Jiran yang mendengar bunyi bising dan jeritan mangsa kemudian telah menghubungi bapa mangsa yang juga anggota di Balai Polis Temerloh. Mangsa ditemui dalam keadaan berdarah dengan kesan tikaman.
“Mangsa kemudian segera dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah untuk mendapatkan rawatan dan disahkan meninggal dunia pada 10.37 malam,” katanya ketika dihubungi hari ini.- BERNAMA
Comments are closed.