KUALA LUMPUR – Kebanyakan peniaga dan pengguna di ibu kota bersetuju dengan penetapan baharu harga siling ayam pada RM9.40 sekilogram yang berkuatkuasa 1 Julai lalu.
Tinjauan MalaysiaGazette di Pasar Basah Chow Kit, di sini, mendapati, tiada lagi rungutan daripada kedua-dua pihak dengan harga siling berkenaan.
Peniaga ayam, Sazali Latif, 61, yang berkecimpung dalam industri tersebut lebih 35 tahun berkata, kebanyakan pelanggannya berpuas hati dengan harga baharu itu dan menyambut baik usaha peniaga yang memansuhkan caj pemotongan.
“Pada saya harga RM9.40 itu memang berpuas hati, saya tengok pelanggan pun senang hati membeli. Ramai pembeli pun kata harga itu bagus. Sambutan menggalakkan daripada pembeli sebab harga sekarang tiada lagi caj pemotongan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Seorang lagi peniaga, Husin Muhammad, 45, turut bersetuju bahawa harga siling itu adalah berpatutan selepas dia tidak lagi mendengar sebarang rungutan daripada pengguna.
“Saya puas hati dengan harga sekarang sebab pembeli dapat untung, peniaga pun untung. Saya belum dengar pelanggan merungut lagi sebab caj upah pun tiada lagi. Bagi saya RM9.40 ini berpatutan dan semua orang boleh terima,” ujarnya.
Sementara itu, pengguna, Johari Hassan, 61, yang bekerja sebagai pemandu van di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, harga yang ditetapkan itu lebih murah kerana peniaga tidak mengenakan caj pemotongan yang melampau.
“Kalau dibandingkan sebelum ini harga sampai RM10 lebih sebab dikenakan sekali caj potong. Hari ini harga ayam RM9.40 jadi masih mampu beli dengan apa yang kerajaan tetapkan sekarang,” katanya.
Bagaimanapun, seorang pembeli, Datin Seri Nahaya Ismail, 54, berharap kerajaan dapat menurunkan harga siling berkenaan agar tidak membebankan pengguna memandangkan ayam dianggap makanan ruji di negara ini.
“Harapan saya kerajaan turunkanlah harga ayam ini pada harga yang lebih baik sebab sekarang terlalu mahal. Kalau boleh kerajaan pertimbangkanlah harga makanan yang biasa kita makan, ayam ini sudah seolah-olah makanan ruji kita. Dulu RM6 kita tak berkira, tapi harga sekarang sangat tinggi, memang rasa berkira nak beli,” ulasnya.
Mengulas lanjut, beliau yang datang dari Kuantan, Pahang memaklumkan, harga ayam di ibu negara ini jauh lebih murah jika dibandingkan di negeri kelahirannya itu.
“Saya datang dari pantai timur ke Kuala Lumpur atas urusan kerja, tapi saya tengok harga di sini lebih berpatutan. Kalau di Kuantan, harganya sangat mahal. Contohnya saya beli peha ayam di pasar raya RM18.89, tapi saya beli peha ayam dekat Pasar Chow Kit ini hanya RM14,” ujarnya.
Terdahulu, Mesyuarat Jemaah Menteri mengambil keputusan untuk tidak mengapungkan harga ayam sebaliknya meneruskan subsidi dan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung bermula 1 Julai.
Pada Jumaat lalu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin dalam tinjauannya berkata, kebanyakan peniaga dan pengguna berpuas hati dengan harga siling berkenaan. – MalaysiaGazette