KUALA LUMPUR – Parti-parti politik dan pihak-pihak yang menghentam kerajaan kerana kenaikan harga barangan sepatutnya memberi cadangan bagaimana untuk menurunkan harga dan menangani inflasi yang sedang dihadapi oleh Malaysia dan seluruh dunia sekarang ini.
Pendekatan ini lebih menampakkan keikhlasan mereka untuk bersama-sama kerajaan membantu rakyat berbanding mengajak orang ramaiĀ turun padang semata-mata untuk melancarkan protes.
Tindakan protes ini walaupun tidak salah tetapi jika dibuat tanpa ada usaha untuk memberi cadangan yang lebih bernas daripada tindakan-tindakan kerajaan, maka ia dilihat sebagai modal simpati politik sahaja.
Penganalisis politik, Dr Azmi Hassan berkata, tindakan seperti ini bukan sahaja tidak membantu kerajaan tetapi menyebabkan rakyat lebih keliru dengan situasi semasa.
“Apabila ada protes seumpama ini, pasti ada rakyat keliru, akan ada yang beranggapan memang kenaikan harga barangan ini hanya berlaku di Malaysia sahaja. Hakikatnya, kenaikan harga barang melanda di seluruh dunia,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Sedangkan, jika pihak-pihak yang melakukan protes ini rasional, mereka boleh mengkaji bagaimana keupayaan kerajaan Malaysia dan negara-negara lain mengimbangi kenaikan inflasi akibat kenaikan harga barang.
Jika berdasarkan fakta, kadar inflasi negara ini diunjurkan 2.8 peratus tahun ini, paling rendah di rantau ASEAN.
Berbanding 5.8 peratus di Singapura dan 3.6 peratus di Indonesia.
Unjuran ini, katanya, berdasarkan strategi-strategi yang diambil oleh kerajaan dalam menangani kenaikan harga barang seperti pemberian subsidi sebanyak RM77.8 bilion.
Jumlah subsidi itu juga adalah tertinggi dalam sejarah Malaysia.
“Dan kalau unjuran ini dianggap tidak munasabah oleh parti-parti politik dan pihak-pihak lain, maka maklumkan apa cadangan dan pendekatan yang mereka ada untuk membantu kerajaan.
“Cuma, pada pandangan saya dalam situasi sekarang adalah sukar untuk Malaysia mencapai kadar inflasi lebih rendah berbanding yang diunjurkan,” ujarnya.
Azmi menyarankan kerajaan untuk terus memberi penjelasan dan berdebat secara berfakta berbanding kempen turun padang yang lebih dilihat sebagai retorik semata-mata. – MalaysiaGazette