KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan rasmi ke Turki bermula esok hingga 8 Julai ini.
Menurut kenyataan Wisma Putra, Perdana Menteri dijadual bertemu dengan rakan sejawatnya Presiden Republik Turki, Recep Tayyip Erdogan.
Pertemuan sulung antara kedua pemimpin itu akan memberikan peluang kepada mereka untuk meneliti perkembangan pelaksanaan Deklarasi Bersama mengenai Rangka Kerja Kerjasama Strategik yang dimeterai pada 2014.
Di samping itu, meneroka inisiatif baharu bagi meningkatkan kerjasama yang sedia terjalin dalam pelbagai bidang ke peringkat lebih tinggi.
“Antara perkara utama dibincangkan semasa lawatan rasmi dalam kolaborasi dua hala termasuk kerjasama pasca Covid-19, pertahanan dan industri aeroangkasa serta usaha bersama dalam menangani isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
“Ismail Sabri juga akan bertemu dengan pemain utama industri Turki dalam usaha mengukuhkan kerjasama ekonomi antara Malaysia dan membuka ruang serta peluang kepada kedua negara untuk meneroka kerjasama baharu dalam pelbagai bidang,” kata kenyataan itu.
Sempena lawatan itu juga, Malaysia dan Turki dijangka memuktamadkan beberapa memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang kerjasama pendidikan, kesihatan, media dan komunikasi, pelancongan kesihatan dan kolaborasi perniagaan.
Kata kenyataan itu lagi, Perdana Menteri juga akan mengadakan sesi bersama Keluarga Malaysia di Istanbul ketika majlis makan tengah hari esok.
Rombongan Perdana Menteri diiringi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Adham Baba.
Turut mengiringi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Ashgar Khan Goriman Khan; dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.
Lawatan itu jelas menunjukkan kepentingan yang diletakkan oleh Malaysia terhadap hubungan dan kerjasama dengan Turki sebagai salah satu rakan Malaysia yang penting di Asia Barat.
Pada tahun 2021, Turki merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia di rantau Asia Barat dengan perdagangan bernilai RM16.97 bilion dan projek yang telah dilaksanakan bernilai RM444.59 juta. – MalaysiaGazette