Home Ekonomi Nasihat terakhir bekas CEO Malaysia Airlines

Nasihat terakhir bekas CEO Malaysia Airlines

Bekas Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Peter Bellew menunjukkan buku biografi Tun Mahathir ketika bercakap pada sidang media menafikan fitnah Tun Mahathir bahawa beliau meletakkan jawatan disebabkan campurtangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Hotel Royale Chulan, Damansara. foto SAFWAN MANSOR, 22 OKTOBER 2017

PETALING JAYA – “Jangan dengar benda-benda mengarut dari pembuat pesawat, pembekal mahu pun syarikat pajakan pesawat,”

Demikian tegas bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Bhd., Peter Bellew ketika diminta nasihat terakhir beliau sebelum meninggalkan syarikat penerbangan nasional itu.

Menurut Bellew, beliau amat tegas di dalam memastikan pelan pemulihan Malaysia Airlines yang memberi penekanan kepada pengurangan kos dapat dicapai.

“Kapten Izham sudah faham cara saya bekerja dan mungkin sudah pandai menyumpah dalam bahasa Irish,” guraunya.

Bellew sekali lagi mengulang pendapatnya dengan mengatakan Malaysia Airlines bakal mencatat keuntungan sekiranya meraih lagi empat peratus peningkatan dalam perolehan tahunan.

Beliau bagaimanapun tidak berkongsi angka sebenar yang diterjemah kepada ringgit dan sen.

Dalam pada itu, Bellew turut menasihatkan Malaysia Airlines supaya tidak gentar dengan persaingan walaupun dicabar hebat oleh AirAsia dan Malindo Air bagi pasaran tempatan.

Malah di peringkat global, beliau merasakan Malaysia Airlines tetap mampu bersaing walaupun pasarannya sangat kompetitif.

Ketika diminta mengulas mengenai pembelian pesawat-pesawat badan lebar daripada Boeing sedangkan tumpuan syarikat adalah laluan Asia, Bellew berkata, pesawat berkenaan adalah fleksibel.

Ia boleh digunakan untuk penerbangan jarak dekat dan jauh. Tambahan pula Malaysia Airlines amat memerlukan pesawat-pesawat tersebut pada ketika ini, katanya.

Bagaimanapun Bellew menyerahkan kepada ahli-ahli lembaga pengarah Malaysia Airlines apakah mahu meneruskan memorandum persefahaman pembelian pesawat berkenaan ataupun tidak selepas beliau meletakkan jawatan.-MalaysiaGazette