SEPANG – Kesemua 255 orang bakal haji yang terdiri daripada anggota, pesara dan keluarga Angkatan Tentera Malaysua (ATM) yang bakal berlepas ke tanah suci petang ini diharap dapat mendoakan kesejahteraan Malaysia di sana.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata, tidak ada tempat yang lebih mulia selain di tanah suci Mekah dan jemaah-jemaah haji diminta menggunakan kelebihan ini.
“Saya berharap mereka mendoakan negara kita iniĀ diberkati, dirahmati keamanannya. Semoga mereka dapat melihat niat yang lebih luas ini selain daripada mendoakan keselamatan dan keharmonian diri dan keluarga sahaja.
“Tidak kurang penting, negara kita ini selamat, stabil, aman supaya kita dapat memastikan generasi akan datang dapat menunaikan haji dan umrah seperti mereka hari ini dengan keadaan yang selesa,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelepasan Jemaah Haji ATM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.
Kesemua bakal haji ini terkandas di KLIA pada 30 Jun lalu kerana tidak mendapat visa daripada Arab Saudi akan berlepas 3 petang ini.
Masalah dihadapi mereka mendapat telah perhatian Hishamuddin, lalu membantu mereka.
Mengulas perkara ini, Hishammuddin berkata, hubungan dua hala yang baik antara Malaysia dengan Arab Saudi merupakan salah satu sebab urusan penghantaran 235 jemaah haji ATM dipermudahkan.
Katanya, Kementerian Pertahanan hanya merupakan pemudah cara dalam membantu urusan berkenaan yang merupakan perjuangan tidak bermusim.
“Mereka yang pergi ini akhirnya ditentukan oleh Allah sebagai tetamuNya ke tanah suci…itu yang paling penting.
“Kalau kita ada hubungan baik atau apa jua kelebihan yang ada nak menunaikan haji ni tidak berkisar kepada pertimbangan wang ringgit, tidak berkisar kepada hubungan dua hala sahaja, kita kena banyak berdoa…dan saya gembira hari ini begini ramai yang diberikan peluang,” ujarnya.
Hishammuddin berkata, Malaysia perlu mengukuhkan lagi hubungan kerjasama yang erat dengan Arab Saudi. – MalaysiaGazette