KUALA LUMPUR – Hala tuju ekonomi perlu distrukturkan semula supaya dapat memulihkan negara dari kemelesetan ekonomi.
Ukuran untuk inflasi dan kemiskinan juga perlu dikemaskini kerana ianya tidak menggambarkan situasi sebenar rakyat yang semakin terdesak dalam mengharungi kehidupan seharian.
Ahli Majlis Eksekutif Pusat Parti Pejuang Tanahair, Armin Baniaz Pahamin berkata, penstrukturan semula ekonomi untuk menyelesaikan masalah kemiskinan akan mengambil kira faktor keselamatan makanan, akses kepada pendidikan percuma yang berkualiti untuk masa depan negara.
Selain itu, katanya, perumahan mampu milik khususnya mereka dalam golongan B40, penstrukturan semula pendidikan untuk membuka peluang pekerjaan berpandukan permintaan ekonomi dan teknologi.
“Keadaan negara yang juga tidak dapat mengawal nilai mata wang ringgit dari terus merosot, harga barang yang semakin mahal dan ura-ura kadar faedah OPR akan dinaikkan akan terus membebankan lagi kesejahteraan rakyat.
“Masalah kemiskinan dan juga masalah pengangguran di negara kita berpunca dari struktur ekonomi yang tidak dipandu dengan baik dari segi hala tuju dan juga perlaksanaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Armin Baniaz, Malaysia gagal mencapai negara perindustrian seperti sasaran Wawasan 2020 dan dengan industri
perindustrian yang belum matang ini, hala tuju ekonomi telah dipandu-ubah, lebih menghala ke sektor perkhidmatan.
Akibatnya jurang kenaikan gaji bagi sektor-sektor tertentu seperti perkilangan, semakin meningkat dan ini terbukti apabila ramai graduan profesional seperti jurutera tidak mendapat gaji setimpal dengan latar-belakang akademik, pengalaman dan tugas kerjanya.
“Jurutera siswazah dilaporkan menerima gaji statik dan tidak berubah semenjak hampir 20 tahun. Jurang terbesar peningkatan produktiviti berbanding dengan kenaikan gaji pekerja dalam sektor perkhidmatan adalah yang paling ketara.
Lebih merisaukan semenjak tahun 2020 dan pasca pandemik, sektor perkhidmatan telah menunjukkan peningkatan produktiviti yang tinggi tetapi gaji pekerja yang dibayar semakin merosot.
“Ini menyumbang kepada jumlah kemiskinan yang semakin meruncing dan ianya hanya boleh diselesaikan melalui penstrukturan semula ekonomi,” katanya.- MalaysiaGazette