Home Ekonomi Pasaran ketat pacu harga minyak mentah

Pasaran ketat pacu harga minyak mentah

SINGAPURA – Harga minyak mentah naik dalam dagangan hari ini berikutan kebimbangan bekalan di Asia Barat dan pasaran Amerika Syarikat yang semakin ketat ketika peningkatan permintaan di Asia.

Niaga hadapan Brent didagangkan pada AS$57.90 pada 0131 GMT, naik AS$0.15 atau 0.26 peratus berbanding harga penutup dagangan.

Harga minyak Amerika Syarikat, West Texas Intermediate (WTI) pula pada AS$52.13 setong, naik sebanyak AS$0.29.

“Harga minyak semakin selesa melepasi AS$50 setong disebabkan gangguan bekalan di rantau Kurdish, Iraq.

“Selain itu, pengeluaran Amerika Syarikat juga terkesan dengan taufan kali kedua serta aktiviti penggerudian yang susut buat minggu ketiga berturut-turut,” kata penganalisis pelaburan Rivkin Securities, William O‘Loughlin.

Jumlah penggerudian medan minyak bagi pengeluaran baharu susut sebanyak tujuh kepada 736 pada minggu yang berakhir 20 Oktober, terendah sejak Jun lalu, kata firma perkhidmatan tenaga Baker Hughes.

Harga minyak akan bergantung kepada permintaan, dengan kawalan ketat pasaran Amerika Syarikat, aliran masuk ke Iraq merosot disebabkan peperangan dan pengurangan bekalan dalam sekatan OPEC dan bukan OPEC.

Sedangkan di kawasan pertumbuhan utama di Asia, penggunaan masih kukuh terutamanya di China dan India.

Permintaan minyak di China kekal tinggi mencecah purata 8.5 juta tong sehari antara bulan Januari hingga September.

Kawalan apsaran minyak dijangka melonjakkan harga emas hitam.

Penasihat Ekuiti dan Derivatif ASR Wealth Advisers, Shane Chanel meramalkan harga minyak mentah naik sehingga 10 peratus pada akhir tahun ini. – MalaysiaGazette