KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang melalui Yayasan Pahang memperkenalkan program latihan khas untuk graduan anak Pahang yang dikenali sebagai Pahang Talent.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, graduan yang terpilih mengikuti program ini akan menjalani latihan selama 12 bulan bagi menimba ilmu dan pengalaman serta pendedahan industri secara langsung di bawah bimbingan barisan Exco Kerajaan Negeri dan Menteri Besar Pahang sendiri.
“Sepanjang tempoh program latihan ini, setiap graduan yang terpilih akan menerima insentif bulanan sebanyak RM2,500.
“Selepas tamat menjalani latihan industri selama 12 bulan, graduan ini berpeluang diserapkan bekerja dengan agensi-agensi Kerajaan Negeri Pahang dan syarikat berkaitan Kerajaan Negeri Pahang, berdasarkan prestasi sepanjang mengikuti program berkenaan,” katanya menerusi sidang media.
Tambah Wan Rosdy, menerusi program yang julung-julung kali diadakan ini, seramai 12 calon daripada keseluruhan 400 graduan 2021/2022 dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Permata Pintar, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan MARA telah terpilih untuk menjalani program ini.
Kesemua mereka ini merupakan anak kelahiran Pahang yang dipilih melalui beberapa fasa saringan sejak April lalu.
“Bagi melayakkan seseorang graduan itu terpilih, mereka perlu melepasi tiga peringkat saringan iaitu Ujian Profil Psikologi dan DNA Yayasan Pahang.
“Ia melibatkan kemahiran pogram Penilaian Simulasi serta proses temuduga,” katanya selepas menyampaikan surat tawaran dan lantikan Pahang Talent di Wisma Sri Pahang hari ini.
Hadir Sama Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehudin Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd Nawawi.
Beliau berharap agar kesemua 12 calon yang telah terpilih ini memanfaatkan peluang dan ruang melalui program ini untuk mengembangkan bakat dan potensi diri masing-masing dan seterusnya memberi perkhidmatan terbaik kepada kerajaan negeri dan rakyat.
Wan Rosdyjuga menaruh harapan program ini dapat diteruskan agar lebih ramai lagi generasi pelapis yang berketrampilan dapat dilahirkan, lebih ramai tenaga kerja mahir dapat dihasilkan, sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada anak Pahang,” katanya. – MalaysiaGazette