KUALA LUMPUR – Skuad Musaadah Keluarga Malaysia Agensi Agama di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyertai misi bantuan mangsa banjir di Baling, Kedah hari ini.
Bertempat di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Surau An-Nur Taman Mesra Kupang dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai, Baling, timbalan menterinya, Datuk Ahmad Marzuk Shaary menyampaikan sumbangan wang tunai kepada mangsa banjir.
Selain wang tunai turut disampaikan beberapa keperluan harian yang keseluruhannya bernilai RM1,158,550.
“Antara keperluan harian yang telah disampaikan ialah 200 set kit solat, 200 unit toto, 600 set makanan segera KFC, 200 set makanan siap untuk makan dan 100 set kit wanita dan tuala.
“Turut disampaikan, 40 unit lampin dewasa, 20 unit susu bayi dan 20 susu dewasa,” kata jurucakap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kepada media.
Menurutnya, misi bantuan kali ini melibatkan gandingan strategik antara JAKIM, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Tabung Haji, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Dasar JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee dan Pengerusi Yayasan Taqwa MAIWP, Datuk Razali Shahabudin.
Penerima sumbangan melahirkan penghargaan atas keprihatinan agensi agama di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) terhadap penduduk Baling yang terkesan dengan bencana banjir itu.
Dalam kejadian kepala air semalam, tiga sekeluarga terkorban dan 11 kampung terjejas akibat banjir lumpur.
Kampung terlibat ialah Kampung Bendang Padang, Kampung Iboi, Kampung Padang Ampang, Kampung Tok Saba, Kampung Hangus, Kampung Pisang, Kampung Sadik, Kampung Kitang, Kampung Tanjung, Kampung Lata Celak dan Kampung Badak Ampang.
Seramai 55 mangsa yang terperangkap dipindahkan ke tempat selamat dan operasi pemindahan masih dijalankan sehingga kini. – MalaysiaGazette