JOHOR BAHRU – Kesesakan lalu lintas yang teruk khususnya di lebuh raya dan bandar-bandar utama seluruh negara merencatkan proses pemulihan ekonomi pasca pandemik khususnya melibatkan sektor pelancongan domestik.
Pengerusi Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Johor, K. Subramaniam berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenainya.
Untuk itu pihaknya mahukan kerajaan dan pihak berwajib mencari satu jalan penyelesaian yang dapat memberikan situasi menang-menang kepada semua pihak terlibat.
“Sudah pasti kita bersyukur apabila sektor ekonomi dan pelancongan telah kembali dibenarkan beroperasi tetapi kerajaan perlu peka mengenai isu yang berbangkit ketika ini adalah melibatkan masalah kesesakan jalan raya yang amat teruk pada waktu hujung minggu dan juga ketika cuti umum,” katanya epada pada sidang media di Ibu Pejabat MATTA Johor di sini hari ini.
Menurut Subramaniam, kesesakan lebuh raya menjadi faktor utama ramai rakyat Malaysia enggan untuk pergi bercuti kerana perjalanan yang sepatutnya hanya memakan masa kira-kira lima jam boleh bertukar menjadi 10 jam sehingga menjejaskan perancangan mereka.
“Ada pihak mengadu mereka sudah membuat tempahan hotel, namun hanya tiba ke destinasi pada lewat malam kerana kesesakan yang terlalu teruk,” katanya.
Subramaniam juga mahu kerajaan melancarkan proses keluar masuk pelancong di pintu masuk utama negara termasuklah di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar.
“Jadi kami harap kerajaan usahakan satu laluan khas untuk pelancong keluar dan masuk sempadan dengan memudahkan proses imigresen dalam usaha menggalakkan kehadiran pelancong asing ke negara ini.
“Jika urusan sedemikian dapat dilaksanakan, kami yakin sektor pelancongan di negara ini sudah kembali rancak dan sememangnya akan pulih seperti sebelum pandemik Covid-19 melanda lebih dua tahun lalu,” katanya.-MalaysiaGazette