KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) memohon Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), selaku pemilik Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras, agar mengembalikan semula hak pengurusan stadium itu kepadanya.
Presiden KLFA Khalid Abdul Samad berkata pengurusan stadium itu, yang diambil alih oleh sebuah syarikat swasta secara pajakan, tidak mampu menangani pelbagai masalah berkaitan padang dan aspek pencahayaan terutama ketika saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bulan lepas.
Beliau berkata jika diamanah menguruskan stadium itu, KLFA akan memastikan ia diselenggara dengan baik bagi sebarang penganjuran kejohanan peringkat antarabangsa pada masa akan datang.
“Kita terpaksa berdepan keadaan mencabar apabila pada saat akhir, pihak AFC membuat tinjauan dan mendapati penyelenggaraan stadium semasa perlawanan tempoh hari tidak seperti yang diinginkan.
“Selain itu, terdapat laporan keadaan padang dalam keadaan tidak memuaskan sehinggakan pihak KLFA sendiri yang perlu membawa ‘roller’ walaupun stadium itu bukan di bawah jagaan kami.
“Pihak yang sepatutnya tidak menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan membiarkan padang dalam keadaan teruk selain aspek pencahayaan tidak menepati piawaian penganjuran kejohanan itu,” katanya pada sidang akhbar di stadium itu hari ini.
Khalid juga berkata tindakan segera yang diambil KLFA dalam menangani masalah stadium dan pencahayaan semasa Kuala Lumpur City FC menjadi tuan rumah aksi Piala AFC Kumpulan H itu dapat mengelak industri bola sepak tanah air mendapat malu.
“Jadi kita mohon supaya pihak DBKL ambil balik pengurusan stadium ini ataupun kalau nak serah kepada pihak lain, boleh serahkan kepada KLFA seperti yang sepatutnya, jadi biar kita yang jaga,” katanya.
Pada saingan Piala AFC baru-baru ini, skuad City Boys muncul naib juara kumpulan sekali gus mengesahkan tempat ke separuh akhir zon ASEAN selepas menewaskan kelab Singapura, Tampines Rovers 2-1 dalam aksi terakhir kumpulan H di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Khamis lepas.
Turut berada dalam kumpulan H ialah wakil dari Indonesia, PSM Makassar.- BERNAMA