Home Nasional Bung Moktar tepis dakwaan tali barut dalam usaha menuntut MA63

Bung Moktar tepis dakwaan tali barut dalam usaha menuntut MA63

Bung Moktar Radin

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Bung Moktar Radin kesal ada pihak cuba memutar belitkan kenyataannya sebelum ini berhubung usaha Sabah menuntut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu menegaskan, kenyataan beliau dalam mengulas perkara itu ialah menyarankan pemimpin negeri itu bertindak bijak dalam menuntut hak rakyatnya yang termaktub dalam MA63.

Bagaimanapun, katanya, apabila sampai ke telinga pihak tertentu, mereka memutar belit kononnya beliau menidakkan usaha menuntut MA63 dan dicapkan sebagai tali barut.

“Kenapa kata saya tali barut? Saya bukan tali barut. Saya hanya kata sudah tiba masanya pemimpin Sabah bertindak secara bijak, saya tidak pernah berkata untuk menidakkan perjanjian MA63.

“Apa yang saya kata, pemimpin yang bijak akan mencari jalan penyelesaian, tetapi sebaliknya pemimpin yang lemah dan rapuh akan terus memainkan isu ini walaupun dia sendiri tahu isu ini tidak akan selesai,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Bung Moktar membuat kenyataan itu sebagai maklum balas terhadap tuduhan tidak berasas ke atasnya mengenai cadangan yang diluahkan pemimpin BN berhubung usaha merealisasikan sepenuhnya tuntutan MA63 pada Konvensyen BN Sabah, baru-baru ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, hanya pemimpin yang bijak mampu mencari jalan bagi mencapai tuntutan MA63 tanpa perlu menunjukkan emosi berlebihan.

Katanya, ada pepatah mengatakan pemimpin yang tidak bijak seumpama anjing menyalak bukit, beratus tahun pun dia menyalak, bukit tidak akan runtuh.

“Sebaliknya pula pemimpin bijak diibaratkan seperti anjing yang pandai, kurang menyalak, tetapi akan menyusuri jalan kecil sehingga ke puncak bukit dan mendapatkan apa yang dia mahu,” katanya.

Menurut beliau, ‘New Deal’ yang dicadangkan dalam isu tuntutan MA63 bermakna semua perkara yang menjadi halangan atau kekangan untuk melaksanakan perjanjian yang dipersetujui akan dihapuskan.

Dengan cara itu, katanya, Sabah akan mendapat lebih peruntukan, bukan seperti diperjuangkan oleh pemimpin yang berjuang, tetapi untuk mencari publisiti murahan semata-mata.

Jelasnya, MA63 telah dimeterai berpuluh tahun lalu, namun belum ada penyelesaian walaupun sudah ramai pemimpin tampil memperjuangkan isu itu, termasuk ada yang dipenjarakan.

“Hakikatnya walaupun isu ini (MA63) telah dibincang beratus kali, dibahas beribu kali, pemimpin demi pemimpin datang dan pergi, ada pemimpin dan orang perseorangan yang membawa isu ini dan ada yang masuk penjara kerana terlalu beremosi atau ‘extreme’, namun isu MA63 masih tidak selesai.

Beliau turut membidas bekas pemimpin BN yang kini lantang bersuara mengenai MA63, tetapi hanya berdiam diri ketika berada dalam kerajaan sebelum ini.

Dalam isu itu, jelas Bung Moktar, ramai pemimpin beremosi dan sesat di jalan yang terang termasuk Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), pemimpin WARISAN, pemimpin UPKO yang pernah berada dalam kerajaan BN dahulu.

“Ketika berada dalam kerajaan mereka memilih untuk berdiam diri, apabila BN kalah merekalah yang meninggalkan BN atau melompat terlebih awal.

“Sekarang mereka memikirkan kuasa semula kerana akan berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), bukan memikirkan bagaimana hendak membangun negeri dan bekerja untuk memajukan Sabah.

“Kenyataan mereka hanya bersifat mencari ‘political mileage’, namun tidak memikirkan jalan terbaik menyelesaikan isu demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here