KUALA LUMPUR – Kalangan komuniti perniagaan Belanda dan Belgium amat berminat dengan ekonomi Malaysia, malah ramai yang memanfaatkan kedudukan strategik negara ini sebagai pintu masuk ke dalam ASEAN, demikian menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Dalam satu kenyataan hari ini, Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dua Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Belanda – BE Semiconductor Industries (BESI) dan Enza Zaden, turut berkongsi pengalaman positif mereka melabur di Malaysia pada satu seminar yang diadakan bersempena misi perdagangan dan pelaburan beliau ke Amsterdam dan Brussels pada 19-20 Oktober, 2017.
“Kedua-dua syarikat itu antara lainnya, turut membangkitkan aspek penawaran modal insan di Malaysia khususnya dalam bidang teknologi dan penjenteraan serta budaya kerja yang gigih dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Mereka juga amat gembira dengan kemudahan yang disediakan oleh pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan agensi galakan pelaburan lain,” katanya.
BESI yang beralamat di Shah Alam dan mempunyai 430 pekerja, terbabit dalam pengeluaran jentera dan peralatan berkaitan semikonduktor serta turut menjadikan Malaysia sebagai pangkalan serantau untuk pasaran Asia Pasifik.
Selain itu, Enza Zaden yang merupakan PKS Belanda dalam bidang pengeluaran biji benih pertanian, telah memilih Perak sebagai pusat penyelidikan, pembangunan dan pembiakbakaan tanah tinggi serta turut mendapat status.
Setakat Jun 2017, pelaburan Belgium yang dilaksanakan adalah bernilai RM743.6 juta, sekali gus menjadikannya antara pelabur utama dari rantau EU.
Menurut Mustapa, adalah penting bagi Malaysia untuk terus berada dalam radar syarikat multinasional dan PKS Eropah.
“Sehubungan itu, kita perlu meningkatkan penyertaan kita di pasaran perdagangan dan pelaburan utama.
“Bagi pasaran-pasaran utama ini, kita perlu bertemu dengan mereka sekurang-kurangnya setahun sekali untuk memaklumkan mengenai perkembangan terkini pembangunan ekonomi kita, peluang perniagaan serta daya tarikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan utama,” katanya. – MalaysiaGazette